2023 merupakan tahun mencabar yang menyaksikan pemberian paten menurun tiga peratus merentasi pelbagai industri di Amerika Syarikat (AS).
Di sebalik keadaan itu, Toyota berada di tempat ketujuh keseluruhan dengan menerima 2,667 paten.
Berikut tiga contoh inovasi Toyota:
1. Kerusi Kinetik Untuk Kenderaan
Toyota Tacoma TRD Pro 2024 dilengkapi kerusi IsoDynamic Performance Seat. Dari gambar boleh dilihat kecanggihan kerusi ini dengan penyerap hentak di belakang.
Perkakasan itu meredam pergerakan kereta secara menegak dan melintang dan mengurangkan bebanan serta impak pada pemandu dan penumpang.
Secara ringkas, kerusi IsoDynamic dibuat bagi menstabilkan sudut pandang pemandu untuk meningkatkan tumpuan, keselesaan dan mengurangkan keletihan di laluan mencabar.
Peredam kerusi boleh ditala mengikut kesesuaian pemandu dan penumpang atau dibiarkan sahaja melalui tuil di belakang.
2. Woven Carbon Fiber Reinforced Steel Matrix Composite
Inovasi ini boleh digunakan untuk meringankan perkakasan kenderaan.
Bahan ini merupakan fabrik gentian karbon daripada gentian yang panjang dan tersusun dalam matriks keluli yang menjadikannya ringan tanpa menjejaskan prestasi.
Melalui pelapisan gentian karbon dalam corak tenunan dan disinter (pemanasan dan tekanan tanpa mencair) dengan bahan nano keluli, komposit yang terhasil mempunyai kekuatan tinggi.
3. Sistem dan Kaedah dengan Gegelung (Coil) Dua Fungsi untuk Pembekalan Kuasa Tanpa Wayar dalam Kenderaan
Teknologi ini menyingkirkan keperluan kabel yang besar, penyambung dan plag untuk mengecas kenderaan serta pembekalan tenaga elektrik (lampu kabin, telefon dll).
Inovasi ini dibuat untuk kenderaan bateri (plug-in hybrid dan kenderaan elektrik bateri) dan menggunakan gegelung dua fungsi.
Gegelung dalam kenderaan boleh menerima kuasa daripada grid elektrik secara bebas wayar untuk mengecas bateri dan memindahkan kuasa kepada bekalan kuasa tambahan bersepadu.
Belanja besar!
Di peringkat dunia, Toyota membelanjakan sekitar AS$1 juta (RM4.67 juta) setiap jam untuk P&P.
Tujuannya supaya Toyota dapat membangunkan kenderaan dan teknologi yang canggih, bermutu tinggi dan menarik dengan pantas dan berterusan.
Komitmen ini memastikan Toyota bukan sahaja memenuhi keperluan pelanggan tetapi juga masa depan.
Penulis: Muhammad Md Tajudin