Walaupun ketika ini, BYD sudah pun menjual kereta di Mexico, tetapi menurut Pengurus BYD Mexico, Zhou Zou memberitahu Nikkei Asia bahawa dengan pembukaan kilang baharu itu, ia bakal menjadi hab eksport ke Amerika Syarikat.
Nikkei Asia melaporkan bahawa BYD telah melancarkan "kajian kebolehlaksanaan" untuk kilang Mexico, sebuah kemudahan yang akan menyertai kehadiran pembuatannya yang semakin berkembang di Brazil, Hungary dan Thailand.
Selepas mencapai rekod jualan lebih tiga juta unit tahun lalu dan mengatasi Tesla dalam jualan EV, BYD berminat untuk berkembang ke Amerika Latin, Eropah dan bahagian lain di Asia.
Zou memberitahu akhbar Jepun bahawa Nuevo Leon di utara Mexico dan Semenanjung Yucatan adalah antara calon utama untuk lokasi kilang di negara itu.
Dengan melihat jualan produk BYD di Mexico dan Amerika Latin semakin kukuh, kehadiran kilang baharu BYD di sana juga bakal membantu mengukuhkan jenama itu lagi.
Kehadiran kilang baharu ini juga berpotensi sebagai pintu masuk jualan BYD ke pasaran Amerika dan ia bakal membuatkan jenama lain bergelut dengan permintaan produk mereka yang semakin tidak menentu.
Perkara yang menghalang jualan BYD memasuki A.S. ketika ini adalah tarif setinggi 27.5 peratus dikenakan ke atas kereta buatan China.
Walaubagaimanapun, untuk kereta buatan Mexico tidak tertakluk kepada tarif yang sama walaupun kilang pembuatan tersebut berasal dari syarikat milik China.
Walaupun BYD dilihat sebagai peneraju dalam jualan dan teknologi EV ketika ini, dengan harga jualan yang ditawarkan telah mempengaruhi harga jualan jenama lain dan memberi saingan jualan kepada mereka.
Malah Ketua Pegawai Eksekutif Tesla, Elon Musk baru-baru ini menyatakan kebimbangan bahawa pembuat kereta China akan "merobohkan" saingan tanpa halangan perdagangan.
Buat ketika ini masih belum ada pengesahan rasmi daripada BYD mengenai kilang yang akan datang, tetapi perancangan tersebut dilihat berpotensi besar untuk menjawab persoalan mengenai permintaan EV di A.S.
SUMBER : NikkeiAsia , InsideEvs