Kia EV5 2024 dijangka akan membuat kemunculan rasmi dalam masa terdekat pada acara Chengdu Motor Show.
Dari sudut rekaan, Kia EV5 2024 mengikut rapat rekaan model konsep EV5 yang diperlihatkan pada Mac 2023, namun dengan beberapa perubahan kecil.
Antaranya, rekaan rim yang masih sama, namun dengan pilihan saiz yang lebih kecil (18 atau 19 inci) berbanding rim asal 21 inci.
Perubahan lain turut boleh didapati pada beberapa tempat seperti perumah cermin sisi, pemegang pintu yang tertanam kemas, port pengecasan yang sedikit besar, dan unit lampu utama LED.
Kia EV5 dibangun menggunakan pelantar E-GMP yang menampilkan topang McPherson di hadapan dan suspensi multi-link di belakang.
Dari segi ukuran, ia membawakan dimensi sepanjang 4,615 mm, lebar 1,875 mm, tinggi 1,715 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,750 mm.
Berdasarkan spesifikasi, Kia EV5 dilengkapi dengan motor elektrik tunggal yang diperoleh daripada Vitesco Automotive Electronics, dengan kuasa setinggi 215 hp dan 310 Nm, sistem pacuan roda hadapan, dan kelajuan tertinggi 185 km/j.
Pek bateri pula menggunakan unit Blade daripada BYD, namun tiada data jarak gerak didedahkan buat masa ini.
Besar kemungkinan Kia EV5 akan ditawarkan dalam versi motor elektrik berkembar dan sistem pacuan semua roda (AWD) pada masa akan datang.
Menurut laporan, Kia EV5 akan dipasang oleh syarikat kerjasama Kia dan Yueda di Yacheng, China, di mana ia bukan sahaja dihasilkan untuk pasaran domestik, malah ia juga akan dipasarkan ke seluruh dunia.