Malah pada awal tahun lalu, nilai untuk sebuah Toyota 2000GT sudah pun mencecah US$2.53 juta (RM11.20 juta), menjadikannya antara 2000GT yang paling mahal dalam sejarah.
Bagi mereka yang mahu mencari 2000GT yang murah dan berada dalam lingkungan bajet, anda boleh dapatkannya pada harga serendah ¥6,600 (RM212.90) sahaja.
Yang pasti, ia tidak boleh dipandu, akan tetapi boleh digunakan untuk menemani meja kerja, dan sudah semestinya amat sesuai digunakan untuk mereka yang minat kereta-kereta klasik Jepun.
Syarikat Jepun Faith melancarkan produk berupa tetikus Toyota 2000GT dengan ukuran 130 mm x 50 mm x 35 mm dan rekaan yang sangat selesa untuk kebanyakan tangan manusia.
Tetikus tanpa wayar ini hanya mempunyai dua bebutang utama dan roda penatal terletak pada bahagian hud enjin, sementara bahagian sisi pula tidak menampilkan butang tambahan.
Namun, ia mempunyai ciri unik di mana lampu utama dan lampu belakang yang mampu bercahaya, sekaligus sesuai untuk dijadikan sebagai hiasan di meja kerja.
Produk tetikus ini sebenarnya telah dilancarkan sebelum ini dan kesemua unit telah pun habis terjual.
Kali ini, pihak Faith melancarkan semula produk yang menjadi rebutan ramai ini dengan hanya 1,500 unit sahaja, dan boleh didapati di laman web Cam Shop bermula pertengahan Januari ini.
Harus diingat, kos yang disebutkan di atas tidak termasuk dengan kos penghantaran antarabangsa.
Sumber: Japanese Nostalgic Car