Anggota Bahagian Penguatkuasaan Sungai Pulai, JKDM Johor yang melakukan pemeriksaan ke atas dua MPV berkenaan mendapati tayar pelbagai jenama dan saiz disumbat dalam kenderaan itu.
Terdapat 69 tayar baharu pelbagai jenama dan saiz dipercayai tidak berkastam yang diimport dari luar negara dalam kedua-dua MPV berkenaan.
Menurut Sinar Harian, dalam sidang akhbar di Menara JKDM Johor di sini pada Ahad, Sazali berkata bahawa tayar yang diseludup adalah tayar bagi kenderaan mewah dengan saiz 19 inci ke atas.
Beliau berkata, anggaran nilai tayar baharu yang disita ini adalah RM41,400 manakala jumlah duti atau cukai yang terbabit RM19,500.
Sindiket penyeludupan itu menggunakan modus operandi dengan menyeludup masuk sejumlah dagangan tayar baharu pelbagai jenama dan saiz dari negara jiran tanpa sebarang pengikraran.
"Mereka akan membawa barangan ini melalui laluan penumpang di pintu masuk negara dekat selatan tanah air," ujar beliau.
Turut disita adalah kedua-dua Toyota Alphard yang bernilai RM80,000.
Kedua-dua pemandu MPV yang berusia antara 36 hingga 41 tahun itu kemudian ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang larangan tidak berkastam.