Berdasarkan laporan, Corolla Cross Hybrid ini didatangkan dengan sistem hibrid generasi kelima dengan sistem pacuan semua roda sebagai ciri standard, dan kuasa output keseluruhan setinggi 194 hp yang jauh lebih bertenaga berbanding Corolla Hybrid yang dipasang di Malaysia.
Besar kemungkinan versi hibrid ini menggunakan nadi Dynamic Force M20A-FXS yang sama ditawarkan pada Corolla Cross Hybrid di pasaran Eropah, di mana ia terdiri daripada enjin 2.0 liter, bateri lithium-ion 4.08 Ah dan motor elektrik berkuasa 113 hp/206 Nm.
Ini membolehkan Corolla Cross Hybrid 2023 memecut sepantas lapan saat dari 0-96 km/j dan mampu mencatatkan penggunaan bahan api gandingan 6.4 liter/100 km.
Antara ciri standard yang wujud pada Corolla Cross Hybrid termasuklah ssitem infotainmen Toyota Audio Multimedia lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, navigasi berasaskan awan, bantuan pintar, kemaskini over-the-air, sistem pencahayaan LED dan sistem kemasukan pasif.
Untuk varian yang lebih tinggi ditawarkan dengan rim bersaiz 18 inci, lampu LED yang lebih premium, lampu kabus, kaca privasi, rel bumbung dan juga paddle shifter.
Tidak ketinggalan, kesemua varian Corolla Cross Hybrid 2023 hadir dengan kelengkapan keselamatan Toyota Safety Sense 3.0 dengan sistem pra-pelanggaran yang menyokong pengesanan motosikal, bantuan membelok di persimpangan, ciri bantuan pengesanan lorong dipertingkat, serta ciri sedia ada seperti kawalan jelajah radar dinamik, bantuan suluhan tinggi automatik, pengesanan papan tanda, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan peringatan kerusi baris belakang.