Warna Barcelona Red dengan bumbung Jet Black nampak menyerlah dan terdapat dua lagi pilihan iaitu Jet Black dan Celestite Gray dengan bumbung Jet Black.
Penampilan Corolla Cross Hybrid berbeza daripada model tempatan dan boleh dilihat pada bampar depan dan belakang.
Bahagian dalam edisi istimewa ini dibalut fabrik warna hitam dan merah dengan sulaman merah.
Diasaskan dari varian SE juga bermakna model ini dilengkapi rak bumbung, pengecas tanpa wayar dan cemin pandang belakang tanpa bingkai HomeLink Rearview Mirror.
Corolla Cross Hybrid digerakkan enjin 2.0 liter VVT-i dengan padanan Sistem Toyota Hybrid terbaru atau generasi kelima.
Enjin itu dipadan bersama transmisi ECVT dan pacuan semua roda Electronic On Demand All-Wheel Drive (e-AWD).
Dari segi prestasi, keseluruhan sistem menghasilkan 196 kuasa kuda (hp) dan daya pecutan 0 hingga 97 kilometer sejam (km/j) mengambil masa lapan saat.
Satu lagi keistimewaan ialah suspensi belakang double-wishbone talaan sport dengan lengan mengekor (trailing arm), bar penstabil dan penyerap hentak hidraulik.
Keupayaan tunda sehingga 680 kilogram (kg) dan mempunyai jarak kelegaan bumi lapan inci.
Dari segi teknologi bantuan pemanduan, Toyota Safety Sense 3.0 terdiri daripada Sistem Pra Pelanggaran dengan Pengesan Pejalan Kaki dan Pengawasan Titik Buta.
Turut dilengkapi Peringatan Lencongan dengan Bantuan Stereng, Bantuan Pengesanan Susur, Lampu Tinggi Automatik dan Bantuan Isyarat Jalan Raya
Lagi teknologi yang membantu ialah Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Peringatan Lintasan Trafik Belakang dan Peringatan Kerusi Belakang.
Selain varian istimewa Nightshade, pelanggan di AS mempunyai tiga lagi pilihan iaitu S, SE dan XSE.
Seperkara menarik, Corolla Cross Hybrid dipasang di kilang kerjasama dua jenama Jepun iaitu Mazda Toyota Manufacturing di Alabama.
Harga Corolla Cross Hybrid 2024 belum dikeluarkan dan sebagai rujukan Corolla Cross Hybrid SE 2023 ditawarkan pada AS$29,290.00 (RM137,897)
Penulis: Muhammad Md Tajudin