Ini kerana pengeluar dari Sant'Agata Bolognese itu tampil dengan sebuah lagi jentera Huracan pacuan roda belakang yang digelar sebagai Huracan Tecnica.
Diposisikan antara model aras mula Huracan Evo dan model STO, Huracan Tecnica telah direka supaya mampu menawarkan pemanduan yang lebih menyeronokkan baik di atas jalan raya mahupun di litar lumba.
Huracan Tecnica didatangkan dengan nadi V10 aspirasi natural, namun dengan talaan kuasa yang lebih tinggi - 631 hp dan 565 Nm - di mana ia menyamai output kuasa yang ditawarkan pada model Huracan STO.
Namun begitu, Huracan Tecnica dikatakan mampu menghasilkan runut bunyi yang lebih tajam terutama pada putaran enjin yang lebih tinggi.
Dari segi luaran, Lamborghini membawakan beberapa perubahan seperti contoh bampar baharu dengan motif Y yang terletak di bawah unit lampu utama, di mana ia diinspirasikan daripada model Sian dan model konsep Terzo Millenio.
Rekaan tingkap sisi turut direka semula supaya menyamai rupa pada model Essenza SCV12, sementara keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim Damiso bersaiz 20 inci, inspirasi daripada rim yang terdapat pada Vision GT.
Perubahan besar boleh dilihat pada bahagian belakang, di mana Huracan Tecnica mendapat pelindung enjin yang diperbuat daripada gentian karbon, serta tingkap belakang jenis menegak.
Selain itu, bahagian belakang juga turut menampilkan diffuser, serta spoiler belakang kekal yang dikatakan mampu menyumbang peningkatan 35 peratus daya turun belakang berbanding dengan Huracan EVO RWD.
Jika digandingkan dengan komponen aerodinamik lain seperti splitter depan dan komponen bawah badan, ia dikatakan mampu mengurangkan daya seretan sehingga 20 peratus.
Segala sistem pembakaran disalurkan keluar menerusi sistem ekzos dengan tip berbentuk heksagon.
Penggunaan bahan ringan sememangnya membantu Huracan Tecnica mencapai diet yang diperlukan, dengan berat sekitar 1,379 kg sahaja berbanding model Huracan EVO RWD (1,389 kg) dan model STO (1,339 kg).
Disebabkan itu, pecutan 0-100 km/j boleh disingkatkan kepada 3.2 saat (berbanding 3.3 saat oleh Huracan EVO RWD).
Aspek pemanduan turut disumbangkan dengan sistem stereng gandar belakang, ciri torque vectoring, sistem brek seramik karbon serta sistem kawalan Lamborghini Dinamica Veicolo Integrata (LDVI) yang dipinjamkan daripada model EVO AWD.
Harga jualan masih lagi belum diumumkan secara rasmi oleh Lamborghini.