Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menjadi tuan rumah bagi pusingan kedua yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 29 Mei manakala pusingan seterusnya masih belum dapat ditentukan.
Litar Antarabangsa Sugo, Jepun pula dipilih sebagai lokasi pusingan keempat dari 12 hingga 14 Ogos manakala Litar Antarabangsa Zhuhai, China diberi tanggungjawab bagi pusingan kelima (9 hingga 11 September).
Pengarah Two Wheels Motor Racing (TWMR), Ron Hogg berkata, Litar Antarabangsa Chang bakal menjadi pusingan kemuncak musim dari 18 hingga 20 November.
"Selepas dua tahun tanpa aktif, tentunya kami tidak sabar untuk kembali mengumpulkan grid Asia semula. Dua tahun ini menjadi tempoh yang sangat mencabar bagi paddock ARRC.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan kerana terus bersabar dan memahami.
"Kami jangka kembali ke The Bend Motorsport Park, Australia pada 2023 apabila perjalanan antarabangsa dapat dipermudahkan lagi.
"Apa yang penting, kami tidak sabar untuk penampilan pertama ARRC di Sugo. Sebelum ini kami pernah beraksi di Autopolis International Race Course dan Litar Suzuka, maka Sugo akan menjadi lokasi baharu buat paddock Asia," katanya.