Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K menjelaskan, "ia sudah pasti menjadi satu tempoh yang mencabar buat kami, namun kami di UMW Toyota faham langkah yang diambil oleh kerajaan amat diperlukan bagi membendung pandemik COVID-19.
"Di pihak kami, kami telah memastikan seluruh tenaga kerja telah pun diberikan suntikan vaksinasi supaya operasi perniagaan kembali berjalan dengan lancar," tambah beliau.
Semenjak larangan pergerakan dilonggarkan, jumlah jualan kenderaan baharu Toyota dan Lexus dicatatkan sebanyak 2,524 unit sepanjang bulan Ogos, atau 56 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun 2020.
Namun, jumlah jualan bagi tempoh lapan bulan pertama tahun 2021 adalah sebanyak 38,085 unit, jauh lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu (31,734 unit).
Pencapaian ini adalah disebabkan momentum jualan yang kuat bermula tahun lalu disumbangkan oleh pengecualian cukai SST.
Untuk merancakkan lagi penjualan kenderaan, UMW Toyota menawarkan promosi bulanan serendah RM493 untuk Toyota Yaris menerusi pelan EZ Beli, rebat sehingga RM10,000 untuk pembeli Toyota RAV4, serta penjimatan sehingga RM17,391 untuk MPV Toyota Alphard dengan pengecualian SST sehingga hujung tahun ini.
UMW Toyota juga turut memastikan setiap pusat pameran dan pusat servis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Sementara itu, operasi pemasangan dua kilang Toyota di Selangor telah dimulakan semula bagi memenuhi tempahan yang tertunggak, namun UMW Toyota menjangkakan kesemua tempahan mampu dipenuhi dalam tempoh masa telah ditetapkan.