Walaupun Jazz baharu ada terjual di Eropah dan China (lengkap dengan varian Crosstar), kemunculannya di Asean ketika itu bergantung kepada keputusan syarikat itu sendiri dan dengan terlancarnya City hatchback, jawapannya semakin nyata.
Dari sumber-sumber dalaman Careta, Honda Malaysia juga akan melancarkan varian hatchback untuk menggantikan model Jazz.
Harga Jazz sekarang bermula dari RM72,500, hanya sedikit berbeza dari City yang berharga dari RM74,200.
Jika kita lihat kepada UMW Toyota, ia meletakan harga Yaris lebih rendah dari Vios, varian sedan model yang sama - Yaris sebenarnya adalah varian hatchback untuk Vios.
Ada kemungkinan Honda Malaysia akan menggunakan konsep yang sama juga dengan meletakkan julat harga yang rendah sedikit untuk City hatchback berbanding dengan City sedan (dan mungkin juga kelengkapan yang lebih asas untuk hatchback).
Apapun, jika anda berminat dengan Jazz atau konsep kenderaan kompak khusus untuk bandar tetapi menawarkan ruang kabin yang super praktikal, sekarang ialah masanya untuk anda meneruskan niat itu sebelum stok Jazz habis.
Pengeluaran Jazz di Malaysia juga dikhabarkan akan ditamatkan dalam suku keempat tahun ini dan pengedar-pengedar Honda ada yang memberikan diskaun menarik khusus untuk model terakhir itu di Malaysia.
Adakah Jazz generasi keempat diperkenalkan di Asean?
Kemungkinan itu tetap ada, terutama varian hibrid dan dalam bentuk yang premium.
Dengan pasaran kenderaan sebanyak hanya 600,000 unit setahun, Malaysia sebenarnya tidak mampu menerima kemasukan banyak model-model atau varian-varian kerana tiada justifikasi dari segi kos pelaburan oleh syarikat pengeluaran.
Rekod lampau juga menunjukan untuk kebanyakan jenama Jepun, jika ia wujud di Thailand, maka ada harapan besar ia juga akan dibawa masuk ke Malaysia.