Kini, Hyundai telah memuat naik sebuah lagi video berdurasi bawah 30 saat yang menunjukkan mereka sedang bersiap sedia melancarkan sedan pantas Elantra N pada 14 Julai ini.
Teaser terbaharu ini menampilkan profil sisi Hyundai Elantra N dengan kehadiran beberapa akronim - berkemungkinan besar menggambarkan segala macam teknologi yang dimuatkan pada sedan pantas ini.
Di akhir video, Hyundai secara sengaja memperdengarkan not-not ekzos yang bakal dihamburkan oleh Elantra N, dan berdasarkan pendengaran awal, Elantra N menjanjikan bunyi ekzos yang lebih garang dengan efek letup-letup.
Sama seperti apa yang anda dengarkan dalam video pemanduan di Litar Nurburgring beberapa minggu yang lalu. (video di bawah)
Walaupun Hyundai tidak mendedahkan secara rasmi spesifikasi Elantra N, besar kemungkinan ia akan didatangkan dengan enjin yang sama dimuatkan pada Hyundai Kona N dan Veloster N, iaitu enjin 2.0 liter turbo yang berupaya menghasilkan 275 hp, sistem transmisi manual atau klac berkembar automatik lapan nisbah kelajuan.