Dengan penguasaan sebanyak 80 peratus pegangan, Hyundai kini merupakan pemilik ketiga syarikat robotik itu selepas ia dipegang oleh Google (2013) dan Softbank (2017).
Namun begitu, Softbank masih lagi memegang 20 peratus pegangan di dalam Boston Dynamics menerusi salah satu daripada syarikat gabungannya.
Dengan pengambilalihan Boston Dynamics, Hyundai kini mengambil satu lagi langkah besar dalam menerajui transformasi strategiknya untuk menjadi penyedia penyelesaian mobiliti pintar termasuklah pemanduan autonomi, kepintaran buatan, mobiliti udara urban (UAM), kilang pintar dan juga robot.
Boston Dynamics sebelum ini telah melancarkan robot komersial pertama mereka, Spot® pada Jun 2020 dan kini ratusan robotnya telah pun beroperasi dalam pelbagai industri termasuklah utiliti kuasa, pembinaan, pembuatan, minyak dan gas, serta perlombongan.
Syarikat itu juga turut baru-baru ini memperkenalkan robot komersial Stretch™ yang direka khas untuk membantu operasi dalam pusat pengedaran serta gudang.