Sasaran itu bakal dicapai melalui gabungan jualan model elektrik Hyundai Motor, Kia dan Genesis.
HMG juga mengumumkan perancangan untuk melonjakkan pengeluaran EV tahunan di Korea kepada 1.51 juta unit dan 3.64 juta unit di peringkat global menjelang 2030.
Selari dengan objektif tersebut, Hyundai Motor Kia dan Hyundai MOBIS merancang untuk melabur 24 trilion won (RM80 bilion) di dalam industri EV domestik.
Pelaburan skala besar itu bertujuan untuk menaiktaraf ekosistem EV Korea.
Pelaburan itu juga dijangka menggalakkan kitaran yang bermanfaat di dalam pengeluaran EV domestik, penyelidikan dan pembangunan (P&P), infrastruktur dan industri berkaitan.
Bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran EV domestik, Kia membangunkan satu kilang khusus untuk mengeluarkan EV dan menambah barisan pengeluaran EV sedia ada.
Selain itu, HMG juga akan membuat pelaburan besar di dalam P&P di antaranya membangunkan platform EV generasi baharu dan menambah siri produk sedia ada.
Perhatian turut diberikan bagi membangunkan perkakasan utama dan teknologi canggih dan menubuhkan kemudahan penyelidikan.
HMG juga akan menggalakkan pembangunan teknologi bersama rakan kerjasama.
Apa lagi perancangan yang mahu dilaksana? HMG merancang untuk membangunkan platform khusus untuk setiap segmen kenderaan di bawah sistem Integrated Modular Architecture (IMA).
Di antaranya platform eM yang direka khusus untuk EV kereta penumpang dan akan diperkenalkan pada 2025.
Platform yang menggunakan IMA dapat menyeragamkan bateri dan motor bagi mempercepatkan pembangunan produk dan kecekapan.
Perancangan HMG turut melibatkan pembinaan infrastruktur pengecasan kelajuan tinggi bagi kemudahan pelanggan EV dan akan terus mengembangkan rangkaian pengecasan di Korea.
HMG sebelum ini telah melancarkan jenama pengecasan pantas EV iaitu E-pit dan E-pit Charging Service Platform (E-CSP),
Seperti yang dinyatakan, cita-cita besar ini turut melibatkan pembekal.
HMG telah pun melaksanakan program bernilai 5.2 trilion won (RM17.3 bilion) bagi membantu perniagaan para pembekal.
HMG juga akan berkongsi dalam menanggung beban kos dengan pembekal susulan turun-naik harga bahan mentah.
Berkenaan model elektrik, selepas KIA EV9 dengan tiga baris tempat duduk dilancarkan pada tahun ini, Hyundai merancang untuk melancarkan IONIQ 7 pada 2024.
Pada 2030 HMG akan mempunyai 31 buah EV dari Hyundai Motor, Kia dan Genesis.
Penulis: Muhammad Md Tajudin