Walaupun portfolio Corolla kini semakin berkembang, ia tidak membawa makna Toyota akan berganjak daripada terus menawarkan model-model sedan pada masa akan datang.
Dalam satu perbincangan panel bertempat di Toyota Motor HQ di Amerika, pihak tertinggi syarikat automotif itu menegaskan pasaran untuk model-model sedan masih lagi wujud walaupun pengguna kini mula beralih kepada trak dan SUV.
Mereka menambah, walaupun trend pasaran sedan mula menurun, ia dilihat sudah bertambah stabil sejak akhir-akhir ini.
Toyota juga tidak perlu risau kerana selain berjaya menguasai 20 peratus pasaran kereta penumpang di sana, rata-rata model sedan sudah tidak lagi ditawarkan oleh pesaing seperti Chevrolet Cruze, Chevrolet Impala, Ford Focus dan Mazda6.