Beliau memberikan amaran Jepun bakal kehabisan tenaga elektrik ketika musim panas jika semua kenderaan menggunakan trenkuasa elektrik, selain kos infrastruktur bagi menampung peralihan kepada EV bakal melibatkan kos yang sangat tinggi.
Nada tersebut kemudian diulangi oleh seorang eksekutif kanan Toyota, Robert Wimmer yang memegang jawatan sebagai pengarah Energy & Environmental Research di Toyota Motor North America.
Robert berkata, "jika kita mahu melakukan perubahan dramatik di dalam elektrifikasi, cabaran yang bakal menanti terlalu besar, seperti infrastruktur pengecasan, bateri, tahap penerimaan dan kemampuan pengguna.
Tambah beliau, ketika syarikat pesaing membuat kenyataan yang bercita-cita tinggi, kurang daripada dua peratus daripada kenderaan yang dijual di Amerika Syarikat terdiri daripada EV.
Malah, Toyota sendiri memerlukan masa kira-kira 20 tahun untuk menjual lebih daripada empat juta kenderaan gasolin hibrid di Amerika Syarikat.
Walaupun nada Toyota agak keras terhadap peralihan kepada EV, syarikat gergasi Jepun itu tidak ketinggalan untuk memperkenalkan dua buah model EV baharu pada tahun ini.
Namun dalam masa yang sama, Toyota akan terus menawarkan pilihan kenderaan hibrid berbanding menggantikan model sedia ada dengan model elektrik penuh.
Toyota tidaklah bersendirian di dalam hal ini, memandangkan BMW juga sebelum ini diberitakan tidak akan mengabaikan pembangunan enjin pembakaran dalaman dan menegaskan permintaan terhadap enjin konvensional ini akan kekal bertahan untuk tahun yang mendatang.
Sumber: Reuters