Menurut laporan daripada media tempatan Headlightmag, hot hatch GR Yaris itu mempunyai tanda harga anggaran di bawah 2.7 juta Baht (RM363,969) dengan penawaran sekitar 70 unit sahaja untuk pasaran tersebut.
Merujuk kepada laman web khas yang disediakan oleh Toyota Thailand, GR Yaris bakal ditawarkan dalam tiga warna utama, iaitu Super White II, Emotional Red II dan Precious Black.
Ciri lain yang ditawarkan termasuklah upholsteri tempat duduk kulit/Ultrasuede, roda stereng balutan kulit, skrin paparan berbilang info 4.2 inci, dan sistem kawalan iklim dua zon.
Seperti yang diketahui, tarikan utama GR Yaris adalah enjin tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo yang mampu menghasilkan 261 PS dan 360 Nm yang memacu semua roda GR-Four menerusi transmisi manual pintar iMT dengan fungsi rev-match.
Terdapat sehingga tiga mod pemanduan yang membenarkan pemandu menentukan nisbah pembahagian kuasa kepada gandar hadapan dan belakang, iaitu Normal (60:40), Sport (30:70) dan Track (50:50).
Thailand International Motor Expo akan berlangsung bermula 2 Disember sehingga 13 Disember 2020.
Sumber: Headlightmag