Ia merupakan kesinambungan daripada pengenalan Mazda CX-30 2.5S yang hadir dengan enjin 2.5 liter Skyactiv-G aspirasi natural dengan angka output 186 hp/252 Nm.
Mazda CX-30 Turbo 2021 yang mendarat di pasaran Amerika Syarikat membawakan enjin Skyactiv-G 2.5 liter turbo yang mampu menghasilkan 250 kuasa kuda dan daya kilas 433 Nm (dengan bahan api oktana 93).
Dengan sistem pacuan semua roda dan talaan semula kepada sistem suspensi, Mazda CX-30 Turbo benar-benar mendefinisikan 'sport' di dalam nama sport utility vehicle.
Dari segi luaran, Mazda CX-30 Turbo diberikan penampilan yang lebih sporti, dimulakan dengan rim aluminium hitam bersaiz 18 inci, kemasan hitam berkilat pada cermin sisi, cladding plastik hitam, emblem 'Turbo' serta tip ekzos yang lebih besar.
Aspek keselamatan turut dipertingkatkan dengan penambahan ciri i-Activesense seperti Smart City Brake Support, Rear Cross-Traffic Braking, Traffic Jam Assist yang menawarkan input stereng automatik sehingga kelajuan 64 km/j serta sistem paparan keliling 360 darjah.
Tiada sebarang perubahan diberikan pada ruang kabin, bermakna CX-30 Turbo turut mendapat ciri seperti sistem Apple CarPlay dan Android Auto, sistem infotainmen 8.8 inci, paparan digital 7 inci, sistem audio dengan lapan pembesar suara, Active Driving Display, Traffic Sign Recognition, dan sistem lapu hadapan adaptif.