Dan selepas itu, teknologi DCT ini mula menguasai beberapa buah model lain seperti Honda Gold Wing, Africa Twins, NC750X, skuter Integra serta crossover X-ADV.
Walaupun pada mulanya ia menerima pandangan yang kurang menyenangkan daripada pasaran, angka jualan yang diterima oleh Honda membuktikan sebaliknya apabila motosikal bertransmisikan DCT ini telah terjual 14,000 unit di Eropah sahaja!
Malah, berdasarkan angka yang diperoleh pada tahun lalu, penjualan model DCT kebanyakannya melebihi 50 peratus daripada jumlah penawaran keseluruhan sesebuah model, seperti contoh:
- Africa Twins - 45%
- NC750X - 52%
- Gold Wing - 67%
Untuk menyambut ulang tahun ke-10 teknologi klac berkembar, Honda telah mengadakan satu temuramah bersama ketua jurutera DCT, Dai Arai.
Menurut Arai, sebelum adanya teknologi DCT, idea motosikal dengan transmisi automatik sudah pun wujud bertahun lamanya, bermula dari Hondamatic (1970) serta Human Friendly Transmission pada Honda DN-01.
Perbezaan yang besar jika dibandingkan dengan transmisi terdahulu menurut beliau adalah, ia melibatkan sistem yang lebih cekap, sekaligus memberikan perasaan tunggangan yang lebih telus dan sporti.
Untuk membangunkan transmisi DCT adalah amat sukar, ini kerana tiada sebarang contoh yang dapat dilihat baik dari sudut pandangan binaan mahupun perisian.
"Kami terpaksa membangunkan sebuah casis crankshaft yang mampu digunakan untuk kedua-dua enjin bertransmisi manual dan DCT, dan dalam masa yang sama pakej tersebut haruslah kompak.
"Untuk memastikan pakej kecil tersebut, cabarannya adalah memastikan binaannya kukuh dan tahan lama.
"Salah satu cabaran adalah untuk mengurangkan kadar bunyi bising ketika menukar gear, disebabkan mekanisme gear itu sendiri adalah sama seperti sebuah motosikal manual, DCT didapati menghasilkan bunyi yang sama ketika penukaran gear secara manual.
"Dari aspek perisian pula, pihak jurutera terpaksa memerah kepala demi membangunkan penjadualan penukaran gear, di mana ia memerlukan ribuan jam untuk menghasilkan tetapan masa yang betul untuk tujuan itu.
Harapan beliau adalah untuk menyaksikan penggunaan transmisi DCT ini pada perlumbaan seperti Dakar Rally di mana sistem ini mampu memberikan manfaat yang cukup besar terutama melibatkan kadar tumpuan penunggang dalam situasi yang serba mencabar.
Untuk temubual penuh, anda boleh melayari pautan di bawah:
https://hondanews.eu/eu/en/motorcycles/media/pressreleases/305908