Beberapa perubahan bersifat kosmetik boleh dilihat pada model facelift ini seperti pemakaian bumper rekaan baharu depan dan belakang, di mana rekaan gril hadapan kini dilayangkan dengan warna hitam berkilat.
Terdapat juga kemasan berbentuk liang udara palsu di bahagian kiri dan kanan bumper hadapan.
Selain daripada itu, lampu utama telah diberikan nafas baharu, menampilkan lampu jenis reflektor LED dengan susunan tiga tingkat dan lampu nyalaan siang jenis LED berbentuk L.
Ruang kabin pula tidak menampakkan sebarang perubahan yang ketara, di mana sistem infotainmen pula adalah bersaiz tujuh inci dengan ciri kemasukan Smart Entry, butang penghidup enjin dan dua mod pemanduan Sport dan Eco.
Dari segi keselamatan, Vios facelift ini hadir dengan sistem ABS, EBD, kawalan kestabilan kenderaan, bantuan mula mendaki, tujuh beg udara serta sokongan kamera undur.
Terdapat dua pilihan enjin, di mana lima varian permulaan didatangkan dengan enjin 1NR-FE 1.3 liter empat silinder sebaris yang mampu menghasilkan 99 PS dan 123 Nm serta padanan sistem transmisi manual lima kelajuan atau CVT.
Manakala model paling premium pula hadir dengan nadi 2NR-FE 1.5 liter yang mampu menghasilkan 107 PS dan 140 Nm yang digandingkan dengan transmisi manual atau CVT.