Salah satu kerjasama yang sudah pun diketahui adalah penghasilan trak pikap bersaiz sederhana di mana Ford akan mengetuai pembangunan serta aspek kejuruteraan yang bakal menjadi asas kepada Ford Ranger generasi baharu.
Sementara Volkswagen pula akan menikmati trak pikap 'Ranger' yang tersendiri dibawah nama Amarok menjelang tahun 2022.
Dari segi aspek kenderaan komersil, Ford akan menerima sebuah model baharu yang dibangunkan berdasarkan model Volkswagen Caddy dan diikuti dengan sebuah lagi model van kargo 1 tan yang akan diketuai oleh Ford.
Apa yang lebih menarik perhatian adalah kehadiran sebuah model kereta elektrik Ford (selain daripada Ford Mustang Mach-E) yang akan dibangunkan menggunakan pelantar MEB daripada Volkswagen!
Model yang dijadualkan pelancarannnya menjelang 2023 di Eropah itu bakal memiliki karakteristik tersendiri yang menggandingkan penawaran ruang dan prestasi di bawah mobiliti sifar emisi.
Malah, Ford percaya mereka mampu menghasilkan kira-kira 600,000 unit EV berdasarkan platform MEB itu tadi.