"Pagi ini, saya beli tiket secara dalam talian dan harga tertera RM33 untuk dewasa, iaitu meningkat sebanyak RM10.
"Saya ada urusan penting. Jadi terpaksa beli juga tiket walaupun kenaikannya agak tinggi dan membebankan," katanya ketika dihubungi.
Bagi perjalanan dari Kuah ke Kuala Perlis pula, harga lama ialah RM18 bagi dewasa dan RM12 kanak-kanak.
Sementara itu, tinjauan di kaunter jualan tiket feri di pekarangan Kompleks Jetty Point di sini, mendapati Ferry Line baharu menampal notis tambahan surcaj RM10 dikenakan, berikutan penjarakan sosial.
Ketika ini, usaha menghubungi pengurusan Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) bagi mendapat maklum balas berkaitan perkara itu gagal kerana difahamkan mereka sedang bercuti.
Sementara itu, Jabatan Laut menyatakan tindakan konsortium Ferry Line mengenakan surcaj RM10 ke atas penumpang feri melanggar peraturan kerana dibuat tanpa kelulusan Kementerian Pengangkuan.
"Kementerian Pengangkutan tidak pernah memberi kebenaran dan kelulusan kepada mana-mana pengusaha feri Langkawi untuk mengenakan bayaran tambahan kerana penjarakan sosial ke atas harga tiket feri.
"Pihak pengusaha feri Langkawi tidak dibenarkan mengenakan bayaran tambahan (surcaj) ini kepada penumpang dari Terminal Penumpang Kuah, Langkawi semua destinasi dan sebaliknya," katanya hari ini.
Beliau berkata, subseksyen 65D (d) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 menetapkan hanya Lembaga Perlesenan Perkapalan Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan dengan kelulusan Menteri Pengangkutan boleh menetapkan kadar harga yang dikenakan untuk membawa penumpang atau kargo oleh mana-mana kapal yang terlibat dalam perkapalan dalam negeri.