Usaha Presiden Donald Trump untuk mengawal harga minyak nampaknya tidak memberikan kesan walaupun presiden yang "popular" itu menyokong tindakan Opec dan Rusia untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah untuk meningkatkan harga.
Melihat kejatuhan harga drastik itu, Trump malam tadi mengarahkan agar semua stor minyak di bawah kawalan kerajaan US dibuka untuk menyimpan lebihan bekalan minyak yang tidak mampu lagi disimpan di tangki-tangki komersil yang ada.
"Kami anggarkan akan menyimpan sebanyak 75 juta tong ke dalam simpanan kerajaan," ujar Trump.
Sektor minyak syal (shale) telah menjadikan US sebagai negara pengeluar minyak terbesar dunia sejak sedekad lalu dan ia menjadikan US sebagai kuasa dominan. Namun begitu kejatuhan harga ini nampaknya menidakan lagi kuasa negara itu.
Walaupun harga minyak US sudah jatuhh ke paras negatif, harga minyak mengikut penanda aras antarabangsa, Brent, jatuh sebanyak 8.9 peratus semalam kepada US$25.57 setong.
Tidak seperti pasaran minyak US, pasaran Brent membolehkan pedagang minyak untuk menghantar bekalan ke tempat yang mempunyai permintaan tinggi.
Ini menjadikan ia lebih mapan kerana ia mempunyai fasiliti untuk menyimpan bekalan di seluruh dunia, tidak seperti dagangan minyak di US yang hanya tertumpu pada negara koboi itu sahaja.
Apapun, pasaran minyak dunia turun terkesan kerana harga minyak Brent pada Januari lalu adalah di atas US$65 setong.
Kejatuhan harga ini mungkin boleh menguntungkan negara pengimport minyak.
Indonesia contohnya sedang mencari lagi kapal-kapal tangki untuk menyimpan bekalan minyak yang dibeli pada masa harga rendah ini.
Minyak ini adalah satu komoditi yang menarik - terlalu sedikit, harganya melonjak dan terlalu banyak pula, industri itu akan merudum jatuh.
Mungkin sudah tiba masanya kita benar-benar serius untuk mencari sumber bahan api alternatif.
* Artikel berdasarkan laporan dari Financial Times