Masalah ini dikesan oleh unit kawalan kualiti Lamborghini ketika mereka mengadakan pemeriksaan QC terhadap jentera-jentera yang dipasang.
Hasil daripada pemeriksaan tersebut, mereka mendapati unit-unit Lamborghini Aventador SVJ Coupe dan Roadster yang dipasang antara bulan Disember 2019 sehingga Januari 2020 memiliki satu masalah yang sama - pintu gagal dibuka dari dalam.
Masalah ini berpunca daripada pin kabel jenis bowden yang terletak di bahagian dalam pemegang pintu tidak dipasang dengan teliti oleh operator baharu yang tidak kompeten.
Ini menyebabkan pintu tidak dapat dibuka oleh pemandu dan penumpang dari dalam kabin dan ia boleh gagal berfungsi tanpa sebarang amaran.
Sebanyak 26 unit Lamborghini Aventador SVJ Coupe dan Aventador SVJ Roadster telah dipanggil semula di Amerika Syarikat, dengan proses penggantian komponen yang terjejas akan bermula pada 1 Mei ini.