Honda CBR250RR sebelum ini pernah dinafikan kehadirannya oleh Boon Siew atas sebab tidak mematuhi peraturan emisi Euro, selain harganya yang dibimbangi terlalu tinggi untuk pasaran Malaysia.
Berdasarkan satu sumber yang diperoleh rakan media Paultan, sudah terdapat persiapan yang dilakukan oleh Boon Siew Honda di Batu Kawan untuk menyambut ketibaan Honda CBR250RR itu yang dijadualkan lewat tahun ini.
Namun, usah gembira terlalu awal, kerana sumber itu turut mengesahkan bahawa pihak Boon Siew Honda hanya membawa CBR250RR dalam unit yang sangat terhad, ditujukan kepada para peminatnya sahaja.
Pun begitu, berita ini sudah cukup untuk membuatkan kami berasa gembira oleh kerana penantian yang begitu lama semenjak tahun 2016 lagi.
Honda CBR250RR didatangkan dengan nadi parallel twin bersesaran 249.7 cc menghasilkan 39 hp (41 hp untuk kemaskini 2020) dan daya kilas 22.5 Nm pada putaran enjin 10,500 rpm.
Untuk pasaran Malaysia, ia bakal bersaing secara terus dengan Yamaha YZF-R25 (36 hp/22.6 Nm) berharga RM19,998 dan Kawasaki Ninja 250 (39 PS/23.5 Nm) yang berharga RM23,071.