Pikap ini dilengkapi tayar 35" Nokian Rotiiva dengan roda aloi 17" x 10" AT dan arka roda lebar. Suspensi Fox pada model terdahulu digantikan dengan set Bilstein untuk mengharungi keadaan muka bumi lebih mencabar.
Turut digantikan ialah pemijak sisi dengan corak dan logo AT yang baharu. Logo tersebut diguna pada penutup hab tayar, sisi badan dan pintu kargo.
Pada bahagian dalam, kerusi balutan kulit kini dengan tambahan kontur bahagian sisi untuk lebih keselesaan.
Skrin sesentuh sembilan inci lengkap dengan fungsi navigasi satelit, Bluetooth®, DAB, Apple CarPlay™ dan Android Auto™. Halwa telinga dijamu oleh sembilan pembesar suara dan subwoofer.
Pengguna juga disediakan kemudahan pengecas tanpa wayar untuk telefon, slot USB depan dan belakang dan slot HDMI.
Selain kamera undur, D-Max ini dilengkapi kamera pada bampar depan bagi mengawasi kawasan titik buta. Imej tersebut ditayangkan pada skrin bagi membantu urusan parkir.
Ada enam warna ditawarkan iaitu Cosmic Black Mica, Obsidian Grey Mica, Splash White, Titanium Silver Met, Sapphire Blue Mica dan Spinel Red Mica.
Isuzu D-Max Arctic Trucks AT35 dijual di UK pada harga GBP39,995 (RM213,016) untuk transmisi manual dan GBP40,995 (RM218,342) bagi transmisi automatik.
Penulis: Muhammad Md Tajudin