Namun, disebalik rupa yang garang dengan spesifikasi off-road yang cemerlang itu, siapa sangka Ford Ranger Raptor hanya hadir dengan nadi 2.0 liter empat silinder sebaris bi-turbo yang mampu menjana 213 PS dan 500 Nm.
Kurang kuasa? Laporan pandu uji kebanyakan menyatakan sebaliknya, namun bagi mereka yang tidak berpuas hati dengan prestasi sedia ada, usah risau.
Menurut laporan daripada WhichCar, pihak Oval Blue kini sedang merancang untuk memasukan nadi kuasa bentangan V8 ke dalam perut Ranger Raptor!
Nadi V8 tersebut datangnya daripada model Ford Mustang GT, dengan spesifikasi kapasiti 5.0 liter aspirasi natural yang mampu menghamburkan 454 kuasa kuda dan 556 Nm.
Sehingga berita ini ditulis, angka sebenar yang bakal diletakkan pada kertas spesifikasi masih lagi tidak diketahui namun ada berita yang kurang baik untuk anda yang menantikan model yang lebih berkuasa ini.
Model Ranger Raptor V8 ini hanya akan dipasarkan untuk benua Australia sahaja dan ia akan diedarkan sendiri oleh pihak ketiga yang telah menerima kelulusan daripada Ford Australia.
Pihak tersebut akan membuang enjin asal Ranger Raptor dan menggantikannya dengan enjin V8 selain menawarkan jaminan selama lima tahun penuh untuk setiap unit yang terjual.
Ford Ranger Raptor V8 akan mula dijual di Australia tahun hadapan.
Sumber: WhichCar