Sehingga kini, generasi ketiga SLC-Class ini merupakan model paling lama pernah yang masih dijual semenjak ia ditukar namanya dari SLK pada tahun 2011.
Difahamkan, tiada sebarang perancangan untuk menghasilkan pengganti bagi roadster SLC ini, memandangkan ia juga sebenarnya telah pun tamat produksi pada Februari tahun ini.
Jadi, demi menghabiskan stok yang masih tersisa, kesemua varian SLC 200, SLC 300 dan AMG 43 akan ditawarkan dalam versi Final Edition.
Kedua-dua varian SLC 200 dan SLC 300 didatangkan dengan enjin 2.0 liter turbo empat silinder sebaris, masing-masing menghasilkan 181 hp/300 Nm dan 242 hp/370 Nm.
Kotak gear manual hanya terdapat pada varian SLC 200, manakala varian SLC 300 didatangkan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan secara opsyen.
Versi AMG 43 yang lebih berkuasa didatangkan dengan nadi bentangan V6 3.0 liter dengan hamburan kuasa 385 hp dan 520 Nm daya kilas, memberikan pecutan sepantas 4.7 saat dari pegun ke 100 km/j dan kelajuan tertinggi dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.
Dari segi kelengkapan standard, kesemua varian didatangkan dengan rim bersaiz 18 inci, sistem pemanas aras leher Airscarf, stereng boleh laras elektronik, tempat duduk sports dengan sistem pemanas dan fungsi memori, sensor hujan, sistem hiburan dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta ciri bantuan Parktronic.
Manakala khas untuk Mercedes-AMG SLC 43, sistem audio didatangkan dengan unit Harman Kardon.
Tidak cukup dengan itu, trim Final Edition Premium juga turut ditawarkan merangkumi kamera undur, deflektor angin, cermin boleh lipat elektronik, lampu LED dengan bantuan suluhan tinggi serta bumbung suria panoramik.
Harga jualan untuk SLC 200 Final Edition bermula dari £37,120 (RM202,823), diikuti SLC 200 Final Edition Premium (£40,916 @ RM223,564), SLC 300 Final Edition (£41,440 @ RM226,428), SLC 300 Final Edition Premium (£45,236 @ RM247,169).
Manakala dua model varian tertinggi AMG pula masing-masing dijual pada harga £48,945 (RM267,435) dan £52,741 (RM288,176).