Sebelum ini, pasukan polis NSW telah menerima sebuah unit Honda Civic Type R manakala pasukan polis Queensland pula menerima unit Kia Stinger sebagai MPV rasmi menggantikan Holden Commodores.
Untuk pasukan polis Victoria pula, sebuah jentera berprestasi tinggi dijangka mampu menggerunkan para penjenayah di luar sana, iaitu BMW M5 Competition.
Seperti tipikal MPV pasukan polis, BMW M5 Competition ini turut dilayangkan dengan liveri pasukan peronda, lampu kecemasan serta gugusan lampu strob LED.
BMW M5 Competition dikuasakan oleh enjin bentangan V8 4.4 liter turbo berkembar yang mampu menghasilkan 616 kuasa kuda, 750 Nm daya kilas dan dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Prestasi atas jalan pula memang pantas, dengan sistem pacuan semua roda BMW M5 Competition ini memerlukan 3.3 saat sahaja sebelum ia mampu mencapai 100 km/j dari pegun.
Harga jualan di pasaran Australia pula bermula dari AUD$230,000 (RM662,752) namun pihak polis Victoria tidak perlu membayar sesen pun untuk unit ini.
Sebaliknya, ia merupakan unit yang dipinjamkan kepada pihak berkuasa selama 12 bulan - sama seperti unit Civic Type R PDRM seperti yang kami laporkan suatu ketika dahulu.