Begitu juga nasib yang melanda Mercedes-Benz apabila trak pikap X-Class dilaporkan akan dihentikan produksinya oleh Daimler bagi mengurangkan kerugian kepada syarikat.
Mercedes-Benz X-Class merupakan cubaan Mercedes menceburkan diri di dalam dunia trak pikap melihatkan kepada kenaikan trend pemilikan trak pikap di seluruh dunia.
Trak pikap yang menggunakan asas Nissan Navara itu diperkenalkan pada tahun 2017, namun hasil jualannya tidak begitu memberangsangkan, sekitar 16,700 unit sahaja di Eropah, Australia dan Afrika Selatan pada tahun lalu.
Antara punca, sebab dan masalah X-Class di dalam mencapai sasaran jualan ialah trak pikap tersebut dijual pada harga yang terlalu tinggi, iaitu bermula dari €37,294 (RM171,810) di Eropah.
Selain daripada itu, terdapat beberapa laporan yang menyebut X-Class turut dipanggil semula atas beberapa sebab yang tidak sepatutnya berlaku pada sebuah trak pikap premium.