Mercedes-Benz Malaysia (MBM) baru-baru ini meraikan kira-kira 30 orang graduan yang berjaya diiktiraf sebagai juruteknik bertauliah menerusi Advanced Modern Apprenticeship Programme.
Penganjuran program merupakan salah satu komitmen jangka panjang MBM dalam usaha untuk memberikan latihan dan peluang kerjaya kepada rakyat Malaysia.
Lebih daripada 850 anak muda telah menerima manfaat semenjak program berdurasi tiga tahun ini dilaksanakan di Malaysia.
Kesemua graduan menerima tiga sijil yang berbeza, iaitu Mercedes-Benz Automotive Mechatronic Training Certificate, Mercedes-Benz Qualified Maintenance Technician Certificate dan juga National Dual Training System Certificate.
National Dual Training System Certificate ini adalah bersamaan dengan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 (SKM 3) yang diiktiraf di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.
Program ini memberikan pendedahan kepada para pelatih terhadap pelbagai jenis set kemahiran yang diperlukan termasuklah persembahan, analisa masalah, membuat keputusan, kemahiran berfikir strategik, disiplin dan paling penting ialah kemahiran kerja berpasukan.
Kesemua aspek berkenaan adalah dikira mengikut piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Daimler AG.
Walaupun menerima lebih daripada 600 buah permohonan pada tahun ini, pihak MBM masih mengekalkan nisbah tenaga pengajar kepada pelatih dengan nisbah 1:15 bagi memastikan kualiti graduan yang dihasilkan benar-benar menepati piawaian yang telah ditetapkan.