Tidak cukup dengan penawaran crossover dan SUV sedia ada (tidak termasuk versi AMG), Mercedes-Benz menambah sebuah lagi model yang diletakkan ditengah-tengah antara GLA dan juga GLC, dikenali sebagai Mercedes-Benz GLB.
Dengan rupa bentuk yang lebih kekotakan, GLB dibangunkan atas platform modular yang sama menghasilkan GLA, sedan A-Class dan CLA, dan ia sebenarnya merupakan B-Class versi jarak antara roda yang lebih panjang.
Secara asasnya, GLB mempunyai dimensi panjang 4.63 meter, menghampiri panjang GLC (4.65 meter) membolehkan ia menawarkan ruang dalaman yang lebih luas dan mampu memuatkan dua orang bersaiz sederhana di baris ketiga.
Mungkin jika sekilas pandang, anda akan menyangka bahawa GLB dan GLC memiliki dimensi yang sama, namun platform kompak membuatkan GLB lebih tinggi 279 mm berbanding GLC.
Dari sudut pandang luar, GLB memiliki reka bentuk kekotakan, lampu seakan petak dan rekaan gril yang bersegi.
Namun, Mercedes-Benz tidak menolak kemungkinan bentuk kekotakan GLB itu bakal menerima varian off-road, namun versi tersebut tidak akan muncul lebih awal bagi melihat tahap minat prospek GLB terlebih dahulu.
Berdasarkan gambaran artis berkenaan model baharu GLB ini, ia seakan mengingatkan kita kepada G-Wagen, sebuah SUV off-road mewah sejati Mercedes-Benz.