Sama seperti apa yang dilakukan oleh Honda, Toyota turut tampil dengan crossover berkuasa elektrik bagi menyahut persaingan di dalam pasaran EV di China.
Namun, Toyota tidak hadir dengan sebuah produk, sebaliknya mereka membawakan dua buah model crossover, masing-masing dihasilkan oleh syarikat tempatan GAC-Toyota dan FAW-Toyota.
Kedua-dua C-HR dan kembarnya IZOA akan menjadi model pertama Toyota yang ditawarkan dengan trenkuasa elektrik sepenuhnya bermula tahun 2020.
Spesifikasi teknikal tidak didedahkan lagi buat masa ini, namun Toyota ada menerbitkan sebuah video yang memaparkan lokasi pek bateri yang diletakkan di atas lantai kenderaan dan sebuah motor elektrik yang diposisikan di kawasan gandar hadapan.
Penggunaan paparan digital sepenuhnya menggantikan kluster meter yang terdapat pada versi petrol, dan di bahagian luaran pula Toyota memberikan sedikit kelainan pada front fascia yang menandakan ia sebuah kereta elektrik.
Selain daripada C-HR dan IZOA, Toyota juga bakal membawakan lebih daripada 10 buah kereta elektrik untuk pasaran China sebelum tahun 2025, dengan sasaran penjualan EV global sebanyak 5.5 juta menjelang tahun 2030.