Buat mereka yang masih meminati van kotak daripada Mitsubishi, generasi kelima Delica dikhabarkan telah pun menerima facelift yang mengintegrasikan elemen Dynamic Shield pada bahagian hadapan.
Berdasarkan info yang diperoleh daripada laman web Response.jp, Mitsubishi Jepun bakal melancarkan enam buah varian bagi Delica facelift ini iaitu Varian M, Varian G, Varian G Power Package, Varian Urban Gear G, Varian Urban Gear G Power Package dan juga versi premium Varian P.
Bermula dari varian terendah (Varian M) peralatan standard yang melengkapi Delica facelift ini termasuklah rim 16 inci, pintu gelongsor berkuasa di sebelah kiri, dan juga sistem hiburan dengan skrin bersaiz 7.7 inci.
Varian G pula menerima rim yang lebih besar bersaiz 18 inci, pintu gelongsor di kedua-dua belah, soket kuasa 12V, manakala Power Package pula menerima tambahan berupa tempat duduk berkuasa elektrik, pemanas tempat duduk terbina dalam dan tailgate berkuasa.
Varian tertinggi P pula hadir dengan kemasan yang lebih premium seperti sistem audio dengan skrin bersaiz 10.1 inci, bantuan pencahayaan suram dalam kabin, monitor pelbagai sudut, dan ciri keselamatan seperti sistem pengesan objek depan dan belakang, lampu suluhan tinggi automatik, dan amaran pengesanan kenderaan di belakang.
Terdapat juga penawaran aksesori daripada pengedar untuk rupa yang lebih agresif dan lasak, terdiri daripada mud-flap, pemijak kaki sisi, rak bumbung dan juga tulisan perkataan Delica pada bonet hadapan.
Ciri keselamatan standard untuk kesemua varian termasuklah collision damage mitigation brake, amaran penukaran laluan, dan juga radar cruise control.