Menurut perjanjian kolaborasi ini, Honda Malaysia akan bekerjasama dengan 17 buah kolej komunitidaripada sembilan buah negeri di Malaysia untuk melahirkan lebih ramai pakar teknikal yang berdaftar di Malaysia, selari dengan fokus kerajaan di bawah Technical Vocational Education and Training (TVET).
Dengan sasaran sebanyak 120 graduan setahun, Honda Malaysia akan mengaplikasikan modul Maintenance Technician and Repair Technician yang terdapat di dalam modul latihan dalaman global Honda ke dalam pengajian yang terpilih, di mana para pelajar akan menerima latihan komprehensif termasuklah latihan industri selama enam bulan di pusat pengedar Honda Malaysia.
Latihan khusus ini juga bertujuan untuk memberikan pemahaman dan pengetahuan berkenaan khidmat selepas jualan cemerlang yang ditunjukkan oleh Honda, sehingga menjadi jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia.
Para pelajar yang menyertai modul ini bakal berpeluang untuk menamatkan pembelajaran dengan prospek kerja yang lebih berjaya, termasuklah peluang untuk diserap masuk sebagai pakar juruteknik rasmi atau kakitangan servis di Honda Malaysia.
Kolaborasi ini tidak terhad kepada pelajar bidang pengajian automotif semata-mata, malah juga turut membuka pintu kepada pelajar daripada bidang pengajian yang berbeza namun berminat untuk menjadi sebahagian daripada pasukan juruteknik Honda.
Menurut Ketua Pengarah DPCCE, Professor Dato’ Ts. Dr. Mohd Ismail bin Abd Aziz, “Kami akan memberikan sepenuh kerjasama untuk membangunkan fasiliti, pusat pembelajaran, seminar, bengkel dan forum bagi mencipta peluang pekerjaan di samping menghargai kolaborasi antara DPCCE dan Honda Malaysia.”