Sistem ini digelar Land Rover All-Terrain Self-Driving Research.
Menerusi cubaan terbaharu daripada JLR ini, mereka membangunkan sebuah sistem bantuan yang mampu mengesan perubahan bentuk muka bumi di hadapan, seterusnya mengubah tetapan pada Terrain Response, kelajuan dan juga arah kenderaan bagi mengelakkan sebarang halangan.
Sistem pengesan ini turut mampu memberikan informasi yang berkenaan (keadaan jalan, jarak kelegaan dari tanah dan juga halangan) kepada kenderaan di belakang bagi menyiapkan diri menghadapi rintangan yang sama.
Menurut JLR, sistem ini dibangunkan bagi memberikan bantuan awal dan pengalaman off-road kepada mereka yang kurang arif berkenaan hal off-road, seterusnya membolehkan mereka merentasi halangan dengan mudah dan berkesan.
Bagi pemandu yang berpengalaman pula, mereka boleh mengambil alih peranan sistem bantuan tersebut pada bila-bila masa sekiranya mahukan lebih cabaran off-road tanpa pertolongan daripada komputer.