Walaupun terbuka, Okavango mempunyai bumbung atas boleh alih yang melindungi kabin dengan kulit Marula Red dari Muirhead dan karpet sulaman segi empat Jerman.
Suasana mewah diteruskan dengan stereng dan konsol dari kayu mahogani. Tuil gear dibentuk dari pokok akasia Afrika.
Papan pemuka dibuat mengikut Land Rover klasik dengan meter buatan khas ala siri Land Rover.
Nampak klasik, jip ini sebenarnya dilengkapi perkakasan moden seperti pengecas tanpa wayar, sambungan audio Bluetooth dan pembesar suara Burmester.
Okavango digerakkan enjin Rover 3.5 liter V8 yang menghasilkan 210 bhp.
Latar belakang serba mewah jip ini bertempat di Royal Automobile Club di London dan unit prototaip yang dipamerkan dibuat mengikut spesifikasi Adventure.
Selepas ini ada unit dari casis 110 dengan jarak roda lebih panjang dan menggunakan enjin LT1 6.2 liter V8 yang dipadan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dari GM.
Nadi V8 dan transmisi automatik untuk Okavango dipilih berdasarkan ketahanan, prestasi dan boleh digunakan tanpa kompromi di dalam trafik harian.
Di sebalik badan jip tersimpan pendawaian buatan khas dan Oshe telah mengubah pedal dan brek tangan bagi mendapatkan ruang dalaman tambahan.
Kerusi jip mempunyai fungsi pemanas dan dibentuk semula. Satu lagi perkakasan menarik ialah brek AP Racing untuk daya perlahan dan henti yang baik.
Untuk menyeimbangkan prestasi di jalan raya biasa dan off-road, kesemua model Oshe Adventure menggunakan suspensi separa aktif kawalan elektronik.
Suspensi itu mempunyai lima tetapan dan Sensor G bagi membantu pengendalian.
Lagi kelengkapan seperti penyaman udara, stereng berkuasa, pemijak sisi elektrik dan sistem audio dari Audison dan Morell.
Kesemua model Adventure akan dikeluarkan dalam jumlah terhad memandangkan Oshe hanya merancang untuk memasang empat unit sahaja setahun.
Unit pertama 110 sudah mula dipasang dan akan disiapkan sebelum hujung 2023.
Setiap unit Oshe Adventure dibuat khas untuk pemiliknya dan harga bermula daripada 225,000 pound (RM1,312,809).
Penulis: Muhammad Md Tajudin