Bersempena dengan musim perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi, Honda Malaysia mengumumkan penawaran warna baharu untuk tiga model pemasangan tempatan (CKD), iaitu warna Passion Red Pearl.
Warna baharu ini akan menggantikan warna Carnival Red (Honda Jazz), Dark Ruby Red (Honda City) dan Obsidian Blue Pearl (Honda CR-V).
Berdasarkan rekod jualan, Passion Red Pearl mencatatkan jumlah jualan yang memberangsangkan semenjak ia diperkenalkan pada Honda HR-V serba baharu pada awal tahun lalu.
Menurut Pengarah Urusan Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, sehingga April 2019 Honda Malaysia masih mengekalkan kedudukan nombor satu di dalam segmen Bukan Nasional dan tempat kedua Jumlah Keseluruhan Industri (TIV).
Honda City kekal sebagai sedan terlaris Honda selain menjadi pendahulu di dalam segmen B, dan diikuti oleh Honda Jazz selaku pendahulu hatchback segmen kategori Bukan Nasional.
Ketiga-tiga model Jazz, City dan CR-V dengan warna baharu ini boleh dilihat menerusi pusat pameran Honda di seluruh negara.