VW Touareg R - 455 hp, 700 Nm, 0-100 kmsj dalam lima saat!

oleh Mohamad Hanif|
Volkswagen nampaknya sudah pun menyertai trend arus perdana SUV berprestasi tinggi dengan pengenalan Touareg R iaitu sebuah SUV dengan ciri plug-in hybrid.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dibangunkan berdasarkan generasi ketiga yang dilancarkan pada tahun 2018, VW Touareg R dijana menggunakan enjin 3.0 liter V6 TSI (340 hp) dan motor elektrik berkuasa 134 hp. 

Secara keseluruhan, Touareg R ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 455 hp dan daya kilas 700 Nm yang memacu sistem pacuan semua roda 4Motion menerusi transmisi automatik lapan nisbah kelajuan. 
 


Atas jalan raya, ia mampu memecut sepantas lima saat dari pegun ke 100 km/j dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 250 km/j sahaja, atau 140 km/j dalam mod elektrik.

Dalam mod elektrik yang dimaksudkan, ia mampu bergerak dalam keadaan sifar emisi dengan jarak sehingga 48 kilometer, terima kasih kepada pek bateri 14.1 kWh yang dipasang di lantai SUV. 

Sebut pasal mod pemanduan, pemandu boleh memilih sama ada untuk menggunakan E-Mode (sifar emisi) dan Hybrid untuk tetapan yang telah dioptimasikan, atau beberapa mod lain termasuklah Eco, Comfort, Normal, Sport, Individual, Offroad dan Snow.
 


Malah, tetapan lain seperti kadar pengecasan bateri dan tahap brek regeneratif juga boleh diubah mengikut kehendak pemandu. 

Luaran SUV pantas ini menerima beberapa kemasan khusus seperti bumper dengan bukaan udara yang lebih agresif, gril dan perumah cermin sisi berwarna hitam, lampu utama LED dengan efek asap, serta rim aloi Braga bersaiz 20 inci. 

Untuk mereka yang inginkan kelainan, set rim itu tadi boleh digantikan dengan set rim Suzuka (21 inci) atau Estoril (22 inci). 
 


Ruang kabin Touareg R ini dikemaskan dengan penggunaan tempat duduk balutan kulit Vienna dengan embossing R dan jahitan kontras, stereng balutan kulit, trim dekoratif aluminium Silver Wave pada papan pemuka, kemasan High Gloss Black dan Silver Look pada konsol tengah, dan panel pemijak beriluminasi. 

Secara standard, SUV Touareg R ini menerima skrin paparan instrumen digital 12 inci, sistem infotainmen 15 inci, kawalan iklim 4 zon, lampu LED matrix, serta bumbung panorama. 

Manakala ciri seperti Night Vision, sistem audio premium Dynaudio, Travel Assist pula ditawarkan sebagai ciri tambahan yang perlu dibeli berasingan. 

 


Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan Off-road Package, Volkswagen menawarkan beberapa ciri seperti perlindungan bawah badan, serta dua mod pemanduan tambahan Gravel dan Sand. 

Volkswagen Touareg R akan diperkenalkan secara rasmi pada acara Geneva Motor Show 2020 manakala tempahan pula hanya akan bermula pada bulan berikutnya. 
 

Berita Berkenaan

Berita Global
Simbol ‘R’ ini kebanyakkanya telah digunakan pada model Arteon dan T- SUV Roc, Tiguan dan Touareg…
Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Uncategorized
  Pelanggan ditawarkan dua jenis bateri iaitu 79 kilowatt-jam (kWj) atau 86 kWj. Dari segi…