Dengan menggunakan asas daripada model ID. Buzz, VW telah melengkapkan prototaip ID. Buzz AD ini dengan kelengkapan seperti kamera, radar, serta penderia lidar yang mampu menawarkan keluasan pandangan 360 darjah.

Menurut VW lagi, penderia lidar yang terpasang di atas bumbung mampu mengecam kehadiran objek sejauh 400 meter, serta teknologi dikenali sebagai 'Geiger-mode' yang mampu mengesan foton cahaya tunggal.
Teknologi pengesanan cahaya itu amat berguna terutama ketika sistem mengesan objek yang memiliki tahap pantulan cahaya yang rendah, seperti kenderaan berwarna hitam.

Melengkapi perkakasan yang disebutkan itu tadi adalah sistem pemanduan autonomi Argo AI yang merangkumi peta, perkakasan, perisian, serta infrastruktur sokongan berasaskan awan.
Difahamkan, ID. Buzz AD ini akan menjalani ujian menyeluruh di jalanan Munich sebelum pelancaran perkhidmatan perkongsian kenderaan yang akan bermula pada tahun 2025 di Hamburg.