Volvo Malaysia lancar program jaminan alat ganti sepanjang hayat

oleh Mohamad Hanif|
Volvo Car Malaysia hari ini melancarkan program jaminan baru yang dikenali sebagai Jaminan Alat Ganti Kereta Sepanjang Hayat untuk Pelanggan (Customer Lifetime Parts Warranty) yang mampu menjamin ketenangan minda semua pelanggan Volvo sepanjang pemilikan kenderaan mereka.

Program baharu ini tertakluk kepada semua pelanggan yang telah membuat pembelian dan memasang alat ganti tulen Volvo menerusi wakil sah pengedar Volvo bermula 1 Oktober 2021.

Jaminan terhadap alat ganti akan bermula pada tarikh pembelian dan ianya sah selagi kereta tersebut berada di bawah hak milik pemilik kereta yang didaftarkan.

Volvo Car Malaysia akan membaik pulih dan mengganti komponen atau alat ganti secara percuma sekiranya pelanggan memerlukan pembaikan atau penggantian alat ganti Volvo yang tulen.

Untuk pemilik model lama, mereka perlu membawa kereta untuk menjalani Pemeriksaan Kenderaan Volvo sekiranya tidak mengunjungi wakil pengedar lebih daripada dua tahun.

Ini bagi memastikan kenderaan lama masih lagi berada dalam keadaan baik dan tidak diubah suai bagi membolehkan kereta tersebut layak untuk mendapat jaminan yang serupa.

Program Customer Lifetime Parts Warranty ini tidak merangkumi alat ganti haus dan lusuh, dan pelanggan boleh menghubungi mana-mana pengedar sah Volvo untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan skop keseluruhan bahagian yang dilindungi.

Terdahulu, Volvo Car Malaysia mengumumkan lanjutan jaminan pengeluaran yang telah disemak semula kepada tempoh lima tahun atau perbatuan tanpa had untuk semua kereta Volvo milik persendirian yang didaftarkan bermula 1 Januari 2021.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Lanjutan tersebut diberikan kepada para pemilik yang mungkin berhadapan dengan masalah untuk…
Berita Global
Di Malaysia, paling teruk pun kena saman dengan abang JPJ, namun di India anda tidak lagi boleh…
Berita Domestik
Menurut Hino Malaysia, jaminan ini tertakluk kepada model HINO 500 Series, trak tugas berat…