Secara asasnya, biarpun dengan kuasa yang mampu mencecah sehingga 2,300 hp dan 2,750 Nm, Koenigsegg Gemera masih lagi sebuah hypercar praktikal yang mampu memuatkan empat orang pada satu-satu masa.
Namun, seberapa praktikalkah Koenigsegg Gemera?
YouTuber Mr JWW kali ini menampilkan sendiri pengasas Koenigsegg, Christian von Koenigsegg untuk menilai tahap praktikaliti hypercar yang disifatkan mesra keluarga itu.
Tidak seperti model prototaip yang pernah diperlihatkan beberapa tahun lepas, Koenigsegg turut menambah baik aspek praktikaliti hyper-GT ini.
Seperti contoh, ruang kargo di belakang enjin V8 yang mampu memuatkan sehingga empat beg bagasi 'carry-on', pemegang cawan yang lebih besar, cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak, serta keupayaan untuk memasang rak bumbung serta kotak kargo tambahan.
Difahamkan, Koenigsegg Gemera mempunyai penderia yang mampu menghalang pemandu daripada mencapai kelajuan lebih 300 km/j sekiranya kotak kargo dipasang pada bahagian bumbung.
Koenigsegg Gemera biarpun mempunyai nadi V8, motor elektrik dan sistem pacuan semua roda, ia masih lagi sebuah hypercar yang ringan, kira-kira 1,900 kg sahaja.
Tangki bahan api adalah sebesar 150 liter, di mana dengan bateri hibrid yang sudah dicas penuh mampu menawarkan jarak pemanduan sehingga 1,000 km!
Baca: Koenigsegg bangunkan transmisi LSTT, motor elektrik Dark Matter untuk Gemera 2025