Model baharu ini ditawarkan bersama-sama model Corolla Cross dengan enjin 1.8 liter iaitu Corolla Cross 1.8V dan 1.8G, di mana ketiga-tiga varian itu kini dipadang di kilang ASSB Bukit Raja, Klang.
Dari segi kuasa, Corolla Cross Hybrid menggunakan padanan enjin 2ZR-FXE 1.8 liter petrol (98 PS/142 Nm) dan motor elektrik (72 PS/163 Nm), sistem transmisi e-CVT dengan empat mod pemanduan (Sport, Eco, Normal dan EV).
Sementara Corolla Cross 1.8V dan 1.8G masing-masing mengekalkan sistem janaan kuasa yang sama, iaitu enjin 2ZR-FBE 1.8 liter DOHC Dual VVT-i dengan kuasa 139 PS dan 172 Nm, serta transmisi CVT.
Berbanding versi terdahulu yang dilancarkan sebelum ini, Corolla Cross CKD mendapat penambahan ciri baharu seperti lampu depan bi-LED, lampu nyalaan siang LED, serta rel bumbung bagi imej yang lebih sporti dan lasak.
Ruang kabin pula mendapat kelengkapan seperti sistem lampu LED pada pintu depan, pemegang cawan, ruang talam, tempat duduk pemandu boleh laras lapan cara, ruang kargo sebesar 440 liter dan pintu belakang automatik.
Sistem infotainmen pula kini sebesar sembilan inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, serta slot pengecasan USB Type-C dan slot pengecasan tanpa wayar.
Dari segi keselamatan, kesemua varian kecuali varian Corolla Cross 1.8G kini lengkap dengan Toyota Safety Sense (TSS) 2.0 yang merangkumi:
- Amaran Pra-Pelanggaran (PCS),
- Amaran Keluar Laluan (LDA)
- Bantuan Pengesanan Laluan (LTA)
- Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC)
- bantuan suluhan tinggi automatik (AHB)
Ciri di atas melengkapi teknologi keselamatan lain seperti tujuh beg udara SRS, cagak ISOFIX, sistem pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), panoramic view monitor, Driver Start Control, dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).
Harga jualan bermula dari RM123,000 untuk varian Corolla Cross 1.8G, RM129,000 untuk Corolla Cross 1.8V, sehingga RM137,000 untuk varian Corolla Cross 1.8 Hybrid.
Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan, sementara pek bateri hibrid didatangkan dengan jaminan berasingan selama lapan tahun yang turut merangkumi unit inverter dan kawalan pengurusan kuasa ECU.