Tunggang Uji: Yamaha NVX 155 - Raja Bandar!

oleh HEZERI SAMSURI|

Sudah hampir enam bulan model skuter ini menjadi bahan "click-bait" untuk banyak website.

Ada yang memberi informasi sebenar, ramai yang tangkap muat.

Di zaman internet ini dan tanpa sebarang kawalan dari pihak kerajaan, beruk di tepi hutan juga mampu menjadi media, asalkan ada internet dan komputer.

Yang pasti, bila gambar NVX 155 dimuat naik, beribu respons diterima dan itu yang dimahukan oleh operator-operator media sosial.

Apapun, Yamaha NVX 155 ini bukan calang-calang produk. Malah untuk pengeluarnya, Hong Leong Yamaha Motor, model ini memerlukan pelaburan yang berjuta RM untuk pihak syarikat.

 

NVX 1

 

Antaranya ialah kelengkapan untuk menguji sistem brek ABS kerana NVX155 lengkap dengan fungsi itu (single channel, untuk roda hadapan).

Kemudian, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) juga menjadikan NVX 155 ini sebagai model pertama mereka yang mendapat pengiktirafan dari agensi Malaysia Automotive Institute (MAI) di bawah MITI sebagai sebuah Kenderaan Cekap Tenaga atau EEV.

Ini membolehkan HLYM menurunkan harganya kepada paras yang lebih berdaya saing - RM10,500 termasuk GST.

Sebenarnya, informasi dari dalaman sebelum ini pernah memberitahu Careta bahawa NVX 155 ini bukan murah untuk dibawa masuk dan harga asalnya lebih tinggi kerana ia adalah dari varian paling premium dari di Thailand dan Indonesia. 

NVX  2

 

Ramai di antara kita beranggapan harga sepatutnya sama dengan di Thailand. Ini adalah tidak benar.

Secara logiknya, ada beberapa sebab:

  • Yamaha Japan ada di Thailand. Di Malaysia, kita ada Hong Leong Yamaha Motor. Sebarang model yang hendak dipasang di sini terpaksa membayar "transfer fee" atau secara ringkas, HLYM "membeli" model itu dari Yamaha Thailand. Ini kos.
  • Thailand menjual lebih 2,000,000 unit motosikal setahun. Malaysia cuma di bawah paras 600,000 unit. Kadar keuntungan di Thailand boleh direndahkan kerana mereka mempunyai volume atau jumlah. Dan di Thailand, pasaran juga lebih sengit dan mereka dibenarkan membuat "price war". Di Indonesia, lebih 6,000,000 motosikal dijual setahun. Maka di sana, persaingan lebih sengit. Malaysia ialah pasaran yang kecil dan banyak syarikat automotif melihat kita dengan sebelah mata sahaja sebenarnya.
  • Untuk memasang sebuah kenderaan, perlu ada modal pelaburan dan juga perlu ada komponen tempatan untuk menepati syarat CKD. Ini akan mengurangkan cukai tetapi kerana jumlah jualan yang kecil, harga komponen tempatan tidak dapat berdaya saing seperti di Thailand.
  • Malaysia juga adalah negara kredit, di mana ramai pengguna mampu berhutang dan ini memudahkan mereka membeli kenderaan yang berharga lebih dari kemampuan mereka. Kerana itu, harga kenderaan boleh dinaikan kerana pengguna Malaysia masih "mampu".
NVX 4

 

Apa pun, NVX 155 sudah pun hadir di Malaysia dan Careta menjadi antara media pertama yang diberi peluang untuk menunggang uji model ini.

Terbukti penyebaran informasi melalui media online sangat berkesan kerana NVX ini jauh lebih popular dari Careta, Anzalna Nasir dan mungkin Donald Trump kerana bila kami bersama Anzalna dan Donald di stesen minyak, tidak ada sesiapa pun yang menegur.

Namun bila kami tiba di beberapa stesen minyak dengan skuter Yamaha ini, ramai jejaka yang tampil ke depan dan bertanyakan akan perihal NVX 155 warna merah legap itu.

Sebenarnya, kami tak penat melayan pertanyaan kerana itu adalah antara tugas kami. Cuma kadang-kadang tergelak juga dengan soalan yang diajukan.

 

NVX 5

 

"Abang beli hutang lepas bayar berapa jumlah harga motosikal ini dicampur dengan faedahnya?", tanya seorang pemuda, meninggalkan kami terpinga-pinga kerana ini bukan motosikal kami dan hairan kerana soalan begitu memerlukan kalkulator untuk dijawab. 

Dah macam pop kuiz Matematik dibuatnya.

Ramai sebenarnya bertanyakan soalan yang memang kami sudah jangkakan dan di sini, kami kongsikan apa yang kami rasa selepas seminggu bersama NVX 155 ini.

1. Dari segi teknikal, NVX ini sebenarnya adalah adik kembar kepada model NMAX yang telah dilancarkan awal lagi oleh HLYM. Kerangka dan enjin (155 cc suntikan bahan api, dengan teknologi Blue Core dan VVA, berkuasa 14.8 hp dan 13.8 Nm tork) adalah dari yang sama tetapi enjin diberikan pemetaan berbeza - NVX 155 lebih sporty dan transmisi CVT juga lebih "menyentap" agar segar dipecut.

2. Untuk design pula, kepada mereka yang gemarkan bentuk superbike R1, NVX 155 ini memang akan disukai. Ia penuh dengan garisan agresif dan seolah lebih rendah menjuman ke hadapan, bersedia untuk menerkam skuter-skuter lazim ditunggang oleh gadis-gadis genit.

 

NVX 6

 

3. NVX 155 ini agresif dan kembarnya NMAX lebih sesuai dibandingkan dengan Honda PCX 150. Ini ialah kerana NVX 155 memberi fokus lebih kepada kualiti Ride and Handling dan bukannya keselesaan. Ia bukanlah sekeras motosikal lumba tetapi bila melanda kawasan tidak rata, NMAX lebih mesra punggung. NVX 155 pula mampu meratah selekoh dengan gaya motosikal sporti, walaupun pada kelajuan skuter.

4. Satu lagi perkara yang membantu NVX 155 ini untuk lebih sporti ialah usaha Yamaha untuk menurunkan berat NVX 155 ini. Dengan teknologi bahan-bahan komposit dan juga susun atur komponen, NVX 155 ialah 18 kg lebih ringan dari NMAX! Bukan setakat ringan, beratnya juga ditumpukan ke bahagian bawah agar Centre of Gravity atau Titik Graviti lebih hampir ke bumi. Hasilnya, ia sangat senang ditunggang dan mampu meratah selekoh sebaik motosikal. Cuma kepada yang sudah biasa mengepit sesuatu di celah kaki, skuter ini perlu dibiasakan kerana tidak ada apa-apa untuk dikepit.

5. Daya pecutan memang tegar dan segar walaupun penulis berbadan sasa (ehemm ... ). Jika dibandingkan dengan NMAX atau Modenas Elegan 250, NVX 155 ini umpama lipas kudung yang mampu memotong kenderaan pakcik-pakcik dan meninggalkan mereka dalam enam tiang di hadapan.

NVX 7

 

6. Halaju maksimum untuk motosikal sebesar ini memang sangat bergantung kepada berat penunggang, keadaan jalanraya dan juga rintangan angin. Untuk penunggang yang kurang makan seperti rakan kita Hafiz Takumi (65 kg), beliau mendapat kelajuan melebihi 130 kmsj. Untuk penulis yang mempunyai berat "muscle" lebih sedikit dari 100 kg, 110 kmsj dapat dilihat bila menuruni bukit. Rakan kami berkata, kalau dilepaskan ke gaung gunung, pasti lebih laju. Jangan risau, kami sudah tampar beliau.

7. Jika ada yang sangsi akan ketepatan meter-meter kelajuan pada motosikal, di sinilah gunanya kerajaan mewajibkan homologasi untuk smeua kenderaan baharu. Sekarang ini setiap komponen kenderaan perlu mempunyai tanda E-marking, yang bermaksud ia dibina mengikut piawaian Eropah. Oleh itu, standard meter kelajuan untuk semua kenderaan adalah sama sekarang. Tidak lagi ada meter berat atau meter ringan dan 100 kmsj pada meter menandakan memang ia sedang bergerak pada kelajuan itu.

8. Kebolehan untuk "meleper" dengan NVX 155 ini memang dibuktikan banyak kali di jalanraya. Sistem gantungannya lebih kurang sama tetapi kedudukan komponen yang mengagihkan berat NVX 155 ini memberikan ia kestabilan ekstra.

NVX 8

 

9. Ini ditambah dengan saiz tayar dan roda yang sedikit besar dari biasa. Rim hadapan 14-inci ini sedikit pelik saiznya tetapi ia berkesan. Begitu juga dengan saiz tayar belakang yang lebar itu dan buat masa sekarang, hanya tayar premium sahaja mempnyai saiz tersebut. 

10. Untuk penunggang tinggi lampai, mungkin ada sedikit masalah kerana NVX 155 ini tidak sebesar maxi-scooter. Oleh itu, ia lebih sesuai untuk perjalanan urban kerana tempat kaki tidak cukup panjang untuk berlunjur.

11. Satu perkara yang ramai tidak sedar akan NVX 155 ini ialah kelebaran pelananya. NVX 155 sebenarnya ialah sebuah skuter gemuk dan kerana itu penunggang yang tinggi dan besar tidak terasa janggal menunggangnya.

NVX  10

 

12. Tempat duduk belakang nyata lebar dan membuatkan pembonceng mengangkang besar. Oleh kerana itu, pastikan pembonceng anda tidak memakai kebaya ketat atau mini skirt kerana anda mungkin akan menjadi marah bila ramai terjegil mata menjeling kaki kekasih anda.

13. Pembonceng juga ada masalah dengan tempat pijak kaki yang memang jauh ke depan. Di samping itu, pemegang tangan yang bersekali dengan badan NVX 155 juga tidak dapat memberi sokongan baik bila memecut. Dalam erti kata lain, Yamaha memberikan peluang untuk kekasih anda naik sekali sahaja dan selepas itu, beliau akan melepaskan anda untuk keluar malam berseorangan kerana tidak mahu lagi membonceng dengan NVX 155. Bijak bijak.

14. Brek hadapan lengkap dengan ABS dan pada hemat kami, ini memang satu fungsi terbaik. Skuter sering mengalami keadaan understeer kerana tayar hadapan terkunci. Di stesen minyak sewaktu hujan, memang brek hadapan skuter risau untuk disentuh tetapi dengan ABS, anda kini boleh menghenyak brek hadapan tanpa risau ia akan terkunci.

 

NVX 11

 

15. Kuasa brek pada NVX 155 sebenarnya memadai walaupun brek belakang hanya dari jenis dram. Namun begitu bila ditunggang secara agresif, terasa brek belakang cuma memberikan bantuan dalam 10 peratus kuasa berhenti. Hairan kerana skuter pakcik penulis, iaitu NMAX yang jauh lebih murah, datang lengkap dengan brek cakera belakang. 

16. Satu perkara unik ialah NVX 155 ini mempunyai brek parking seperti yang kami jumpa pada skuter Majesty 250 dahulu. Ini satu perkara yang baik kerana skuter tidak mempunyai gear untuk membantu menghentikannya dari bergerak bila di parkir di kawasan bercerun.

 

NVX 12

 

17. NVX 155 ini ialah model premium jika dibandingkan dengan model yang sama di Thailand atau di Indonesia. Panel meter LCD sepenuhnya sudah cukup untuk membuktikan penarafan EEV untuk NVX 155 ini membantu menurunkan harganya kerana jika dibandingkan dengan model pesaing, NVX jauh lebih lengkap.

18. Dari segi kelengkapan lain, meter LCD sebesar 5.8 inci itu lebih mudah dilihat di sebelah malam kerana silau di sebelah siang. 

19. Lampu LED depan dan belakang memang nampak menarik dan mahal kerana tidak banyak motosikal datang dengan lampu LED, dan cuma NVX 155 ini sahaja yang ada lampu LED bagi kategori harga serendah ini. Sayangnya, lampu LED pada NVX ini tidak seperti yang ada pada contohnya, Kawasaki Z1000 kerana throw atau lontaran cahaya tidak begitu jauh. Penulis sampaikan mahu ke kedai aksesori 4X4 dan meminjam lampu sorot LED 21 inci dari Rigid Industries untuk diletakkan di hadapan. 

NVX 13

 

20. Kunci remote pula terasa murah dan rasanya HLYM boleh menaik-taraf kualiti kunci itu agar terasa premium sedikit. Ramai yang tidak percaya ia kunci NVX 155 kerana ia seperti kunci remote untuk pintu pagar rumah. Namun begitu, kunci remote ini sangat memudahkan kami kerana tidak perlu terkial-kial mencari kunci.

21. Tombol untuk menghidupkan sistem dan mengunci hendal depan itu dibuat dari aloi tetapi pada unit ujian kami, terasa seperti longgar atau "ogel-ogel" sedikit.

22. Punat pembuka penutup minyak dan pelana diletakan disebelah tombol itu dan nampak sangat mahal. Kami sukakan itu!

23. Ada satu kunci rahsia di kunci remote itu untuk membuka pelana. Ini penting kerana jika bateri motosikal ini habis, anda tidak akan dapat membuka pelana dari punat elektrik itu.

NVX 15

 

24. Di bahagian tempat simpan barang hadapan, tersedia satu soket 12V untuk mengecas alatan komunikasi anda. Namun begitu, tablet atau henfon saiz besar mempunyai masalah untuk muat di ruangan tersebut.

25. Kawasan kargo di bawah pelana boleh memuatkan sebuah helmet open face. Helmet fullface mungkin boleh dimuatkan jika mengiring tetapi bergantung kepada rekabentuk helmet. Jika helmet anda penuh dengan spoiler dan kepak pelbagai, pasti ia tidak muat.

NVX 16

 

26. Untuk membantu menjimatkan minyak, NVX 155 datang dengan sistem Start/Stop seperti pada PCX 150 atau pada kereta-kereta modern. Apa yang berlaku ialah komputer akan mematikan enjin bila skuter itu berhenti di lampu trafik contohnya. Kemudian, bila pendikit dipusing, motor elektrik itu akan menghidupkan enjin dari kedudukan mana piston itu berada. Sangat lancar dan tidak mengganggu!

27. Samaada sistem itu menjimatkan minyak atau tidak, tangki 4.6 liter itu memberikan kami perjalanan sejauh 90 km dalam kelajuan biasa di dalam bandar. Terus terang, kami rasa sedikit kecewa kerana hampir setiap sehari setengah kami perlu mengisi minyak. Leceh.

NVX 17

 

Nah, samada NVX 155 ini berbaloi dengan penantian kita selama ini, terpulang kepada selera masing-masing.

Dari segi spesifikasi, memang ia sangat menarik. Lampu LED, brek depan ABS, sistem Start/Stop, keyless start, penutup minyak dan pelana elektrik, panel meter LCD dan nama yang cukup gah.

Prestasi enjin tidak selaju rupanya tetapi ia mampu memberi keenakan yang setaraf dengan motosikal lebih besar di selekoh-selekoh.

Sekarang ialah musim di mana superbikers mempunyai sebuah motosikal kecil untuk dibawa berkonvoi di hujung minggu. Antara pilihan lazim mereka ialah Yamaha Y 15ZR atau Honda RS 150R. 

Adakah NVX 155 boleh menandingi kedua "king kapchai" tersebut?

Pada pendapat Careta, NVX 155 berada di genre yang lain. Ia adalah skuter urban dan memang cemerlang di wilayahnya. 

Untuk mereka yang menunggang jauh, mungkin akan kecewa. 

Ia umpama seorang super model yang nampak cantik di bawah lampu sorot tetapi bila dibawa berjalan jauh dari runway tanpa efek lampu, maka ternyata tidak sehebat mana.

Apapun, Careta sukakannya kerana di bandar, ia memang raja!

 

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Satu kejutan yang menggemparkan media sosial minggu lalu dengan tersebarnya brosur produk motosikal…
Berita Global
Kami kira, ini bukanlah perkara baharu yang menimpa para pemilik Yamaha Sniper untuk pasaran…
Berita Domestik
"Kita sedang bekerjasama dengan syarikat kenderaan untuk mewujudkan kelengkapan keselamatan pada…