
Walaupun menggunakan nama Corolla dan platform TNGA-C, versi GR ini jauh berbeza dan berorientasikan prestasi.
GR Corolla dikuasakan enjin 1.6 liter turbo tiga silinder sama seperti GR Yaris dengan output ditingkatkan kepada 296 kuasa kuda (hp) pada 6,500 rpm.
Daya kilas 370Nm pula pada julat lebih besar dari 3,000 hingga 5,550 rpm.

Kuasa lebih tinggi itu disumbang beberapa komponen seperti ekzos tiga muncung yang mengurangkan tekanan balik (back pressure), omboh dan injap ekzos yang diperkukuh.
Turut berbeza pam pancitan terus dengan kapasiti lebih besar dan penyejuk minyak enjin.
Enjin G16E-GTS dipadan bersama transmisi manual enam kelajuan nisbah rapat dengan teknologi pemadanan rev.

Morizo Editions pula lebih perkasa dengan tambahan 30Nm dan nisbah gear 'diketatkan' untuk menggunakan tork tambahan dengan lebih baik.
Karakter pengendalian dan prestasi selekoh pula dibantu oleh sistem pacuan empat roda GR-FOUR dengan pembeza gelinciran terhad (LSD) Torsen® .
LSD itu dipasang pada gandar depan dan belakang untuk pembahagian tork yang optimal.

Selain itu, geometri suspensi turut diubah, casis diperkukuhkan dan berat badan dikurangkan.
Morizo Edition lebih ekstrem dengan berat lebih ringan dan tambahan pengukuhan struktur.
Bahagian luar pula nyata berbeza dengan kit lebar supaya sepadan dengan trek lebih lebar, tambahan saluran udara untuk mempertingkatkan aerodinamik dan penyejukan.
Bukan sahaja kit lebar, bonet enjin juga lebih berotot.

Pada bahagian sisi, roda 18 inci dimuatkan di dalam arka roda dengan padanan tayar Yokohama berprestasi tinggi.
Morizo Editions berbeza dengan roda tempa (forged) aloi BBS 18 inci dalam warna perak gelap dan roda Michelin Pilot Sport Cup 2.
Bumbung carbon-fibre reinforced polymer (CFRP) membantu mengurangkan berat keseluruhan dan pusat graviti.
Pada bahagian dalam, kedua-dua GR Corolla menggunakan stereng balutan kulit sama seperti GR Yaris.

Sistem info hiburan dan tetapan ditayangkan pada skrin sentuh lapan inci dengan sistem multimedia Toyota terkini dengan Toyota Connected Services.
Satu lagi skrin berukuran 12.3 inci dengan papar pandu untuk pelbagai maklumat bagi bacaan pemandu.
Skrin sentuh boleh disambung dengan Android Auto™ (berwayar) dan Apple CarPlay® (tanpa wayar).
Di antara fungsi yang boleh diguna ialah digital radio DAB+, navigasi satelit dan pengecaman suara.

Varian GTS dilengkapi kerusi depan dan stereng dengan pemanas, pengecas telefon tanpa wayar, kawalan suhu dua zon dan empat pembesar suara premium JBL®.
Kerusi belakang boleh dilipat dengan pisahan 60:40. Morizo Edition pula langsung tidak mempunyai kerusi belakang bagi mengurangkan berat keseluruhan kereta.
Morizo Edition menggunakan kerus jenis bucket dan unik dengan tali pinggang keledar merah, kemasan suede pada stereng, penukar gear dan brek parkir.

Dari segi keselamatan, GR Corolla dilengkapi fungsi penuh Toyota Safety Sense.
Pembeli GTS ditawarkan empat pilihan warna iaitu Glacier White, Ebony, Liquid Mercury metallic dan Feverish Red mica metallic.
Morizo Edition pula dalam tiga pilihan iaitu Frosted White pearl, Tarmac Black metallic dan warna eksklusif Matte Steel.
Dengan spesifikasi GR Corolla Morizo Edition yang lebih ekstrem, varian ini dijual pada harga bermula 77,800 dolar (RM234,750.13).
Penulis: Muhammad Md Tajudin
