Toyota daftar tanda dagang nama Celica!

oleh Mohamad Hanif|
Ini merupakan satu kejutan yang dibawakan oleh Toyota apabila syarikat Jepun itu diberitakan telah memfailkan permohonan pendaftaran nama "Celica" di pejabat pendaftaran paten dan tanda dagang Amerika Syarikat baru-baru ini.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Berita terbaharu ini sedikit sebanyak memberikan penjelasan kemungkinan kenapa Toyota masih lagi tidak mendedahkan secara rasmi pengganti GT86 setelah Subaru melancarkan secara rasmi model BRZ.

Apatah lagi, menerusi carian tersebut, Toyota didapati melakukan pendaftaran tanda dagang tersebut pada 15 Januari 2021 yang lalu.

 


Kebanyakan media automotif luar negara membuat spekulasi bahawa nama Celica tersebut bakal digunapakai pada kembar BRZ, iaitu Toyota GR86 yang sepatutnya sudah pun diperlihatkan oleh Toyota pada ketika ini.

Alasannya, ia bertepatan dengan semangat yang dibawakan oleh 86 - kereta kecil, ringan, dan pacuan roda belakang - walaupun Celica sebenarnya sudah pun menjadi sebuah kereta sports pacuan roda hadapan semenjak generasi keempat sebelum ia ditamatkan pengeluarannya pada tahun 2006.

Untuk menampal nama tersebut pada model Supra 2.0 liter boleh jadi satu kemungkinan, seperti yang telah dibuat sebelum ini (masih ingat Celica Supra?) namun menurut Toyota, format penamaan tersebut dilihat bakal mengelirukan pelanggan mereka.

Malah, jika ia dibangkitkan kembali menjadi sebuah crossover seperti yang dilakukan oleh Mitsubishi, Toyota bakal menerima maki hamun daripada para peminat dan pencinta sejarah kereta sports klasik Jepun.

 


Dua tahun yang lalu, terdapat laporan daripada CarBuzz yang mencadangkan bahawa Toyota akan membangkitkan semula nama-nama klasik seperti Celica sebagai sebuah coupe berprestasi tinggi dengan sistem pacuan semua roda dan MR2 sebagai sebuah jentera midship.

Menurut Masayuki Kai selaku penolong ketua jurutera pembangunan Supra, nama Celica dilihat sebagai satu alternatif kepada kereta sports pacuan roda belakang GT86 dan Supra.

"Untuk Toyota MR2, ia mungkin bakal menjadi satu model yang berbeza," ujar Kai lagi.

Jadi, sebagai sebuah plet nama yang kaya dengan sejarahnya yang tersendiri, adakah Toyota Celica bakal dijelmakan semula menjadi sebuah kereta sports pacuan roda belakang seperti generasi asal?

Sumber: Japanese Nostalgic Car

Berita Berkenaan

Berita Global
Dalam perkembangan terkini, Celica dikatakan bakal menerima inovasi terbaharu Toyota, di mana ia…
Berita Global
Kali ini, berita tersebut datang sendiri daripada pengerusi Toyota, Akio Toyoda dalam satu temubual…
Informasi
"Dua botol plastik berkenaan akan dihantar kepada pakar bagi pengesahan lanjut. Siasatan lanjut…