Berdasarkan emblem yang tertera pada bahagian belakang gambar teaser yang dibekalkan, Toyota Camry 2025 bakal dilengkapi dengan trenkuasa hibrid (HEV) yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda (AWD).
Selain daripada itu, Toyota juga berkemungkinan besar membawakan unsur rekaan yang terdapat pada Crown untuk model Camry, berdasarkan unit lampu belakang yang serba nipis itu.
Jika dilihat semula pada penawaran Toyota Camry generasi terkini (XV70), sedan segmen D dengan enjin hibrid (A25A-FXS) tidak pernah didatangkan dengan sistem pacuan semua roda, sebaliknya hanya dibekalkan dengan pacuan roda depan sahaja.
Sistem pacuan semua roda (AWD) hanya tersedia untuk model Camry yang dilengkapi dengan enjin petrol 2.5 liter (kod A25A-FKS) yang mampu menghasilkan 202 hp dan 247 Nm.
Terdapat kemungkinan besar Camry 2025 akan dipadankan dengan sistem hibrid yang terdapat pada Crown Crossover, sama ada dalam versi 2.5 liter (236 hp) atau enjin turbo 2.4 liter (340 hp).
Sama-sama kita nantikan spesifikasi penuh Toyota Camry 2025 yang bakal muncul pada 14 November kelak.