Tiga kenderaan 'hilang' tayar, rim di kawasan perumahan

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Sinar Harian
Penduduk di kawasan Taman Alam Budiman Seksyen U10 di Shah Alam dinasihatkan berhati-hati ketika memakir kenderaan di luar kawasan rumah khususnya di tempat sunyi dan jauh dari pandangan umum bagi mengelak kecurian.

Ia susulan kejadian tiga buah kenderaan termasuk sebuah pacuan empat roda milik penduduk di taman berkenaan mengalami kecurian empat tayar ketika meletak kenderaan mereka di luar perkarangan rumah dalam tempoh kurang seminggu.

Pengerusi Persatuan Penduduk Alam Budiman, Badrul Hisham Shahbudin, 55, berkata, jumlah kerugian ditanggung tiga pemilik kenderaan terbabit adalah sekitar RM20,000 memandangkan keempat-empat tayar berserta rim hilang dan perlu ditunda ke bengkel.

“Kes kecurian sudah lama tidak berlaku, mungkin sudah lima tahun lamanya sebelum kami dikejutkan dengan dua kejadian curi tayar berserta rim pada malam Isnin lalu di Presint Senja Raya dan terbaharu kes kecurian ini melibatkan sebuah pacuan empat roda malam tadi," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.

Badrul Hisham sehubungan itu menggesa kerjasama daripada semua penduduk untuk mencegah kejadian seumpama itu daripada berlarutan dan memohon jasa baik daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk kerapkan rondaan di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi Surau Raudatul Firdaus Alam Budiman Mohamad Din Md Tahir, 58, berkata, penduduk mulai resah apabila kawasan berkenaan dicerobohi pencuri selepas sekian lama berada dalam keadaan tenang dan damai.

Namun begitu, beliau yang menetap di kawasan berkenaan lebih kurang 15 tahun lalu mengakui berlaku kes-kes yang kecil namun kes-kes berkenaan dapat diselesaikan di antara penduduk hasil daripada muafakat dan kerjasama yang erat.

Ujarnya, kes kecurian kenderaan juga tidak berlaku sebelum lebuh raya utama dibuka kerana akses ke kawasan berkenaan adalah terhad kepada orang luar berbanding selepas dua tahun lalu apabila pengguna lalu lintas bebas untuk memasuki kawasan itu.

"Kini pengguna jalan raya dapat bergerak bebas sehingga memasuki taman berkenaan tanpa mengira waktu dan mungkin ada pihak tertentu mengambil peluang untuk memerhati kenderaan penduduk sebelum dijadikan sasaran jenayah mereka," ujarnya.

Ujarnya lagi, pihak pengurusan Surau Raudatul Firdaus juga akan mengadakan bacaan Yasin dan doa selamat pada malam Jumaat di surau berkenaan dengan harapan usaha itu dapat mengembalikan keadaan aman seperti mana dinikmati penduduk sebelum ini.

"Hampir 90 peratus penduduk di sini beragama Islam dan mudah-mudahan dengan usaha kecil ini semua penduduk dapat bekerjasama dalam menangani kes-kes sebegini selain diharap dapat untuk menyatukan hati penduduk di kawasan ini," tambahnya.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Suspek ditahan pada 27 Disember lalu susulan laporan seorang pengadu yang mendakwa kehilangan…
Berita Domestik
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri…
Berita Global
Siasatan polis mendapati remaja tersebut merupakan individu yang sama terlibat di dalam 39 kes…