Menurut laporan Bloomberg, Tesla menurunkan harga untuk varian Long Range dan Performance Model Y sebanyak 14,000 yuan (RM8,907) hingga 349,900 yuan (RM222,615), pengurangan kira-kira 4.5 peratus dan 3.8 peratus untuk dua varian itu.
Tesla juga melanjutkan subsidi insurans 8,000 yuan (RM5,089) untuk versi asas Model 3, di mana ia akan ditawarkan sehingga akhir bulan depan.
Menurut penganalisis Evercore ISI, Chris McNally, pemotongan harga yang serupa mungkin berlaku di pasaran US dan Eropah tidak lama lagi, di mana ia bakal menekan margin keuntungan suku ketiga syarikat itu.
Tindakan Tesla mengikuti langkah syarikat China, Zeekr Geely Automobile, yang menurunkan harga sebanyak 37,000 yuan (RM23,539) minggu lepas, serta Zhejiang Leapmotor Technologies, dengan diskaun sebanyak 20,000 yuan (RM12,623) pada awal bulan.
Tesla memulakan perang harga dengan pusingan awal pemotongan bermula akhir tahun lepas yang telah menjadikan beberapa modelnya hampir 50 peratus lebih murah berbanding di AS dan Eropah.
Saham Tesla juga dilapor jatuh sehingga 2.9 peratus pada 9:43 pagi dalam dagangan New York, di mana saham Rivian Automotive Inc dan Lucid Group Inc juga merosot.
Pengeluar kereta terlaris China, BYD pula merosot sehingga 6.2 peratus di Hong Kong, diikuti saham Li Auto Inc, Xpeng Inc dan Leapmotor yang semuanya merosot.
Ketua pegawai eksekutif Tesla, Elon Musk awal bulan lalu telah memberi amaran bahawa pembuat kereta perlu terus memotong harga jika kadar faedah terus meningkat.
Beberapa pusingan diskaun telah menjejaskan margin keuntungan kasar automotif syarikat, yang jatuh ke paras terendah dalam masa empat tahun pada suku kedua.
Pada awal bulan lalu juga, beberapa pembuat kereta termasuk Tesla dan BYD telah berjanji untuk mengekalkan persaingan yang adil dan mengelakkan "harga tidak normal" di China.
Namun ianya kelihatan seperti perjanjian itu telah terbatal akibat kebimbangan antitrust.
Sumber: Bloomberg