Terpedaya dengan tawaran Audi A4 RM20,000, seorang lelaki kerugian RM91,250

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
Hasrat seorang lelaki untuk mendapatkan kereta mewah yang dijual di Singapura tidak kesampaian, malah terpaksa menanggung kerugian lebih RM90,000.


Difahamkan, kereta jenama Audi itu dijual pemiliknya pada harga murah berbanding harga pasaran kerana ia didakwa akan melepasi tarikh luput penggunaan kenderaan itu di negara berkenaan.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Superitendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa yang berusia 50 tahun itu dikatakan tertarik untuk membeli kereta berkenaan selepas melihat iklan jualannya di Facebook dengan menggunakan nama 'Sg Car' pada 10 Ogos lalu.

 

"Harga ditawarkan untuk kereta Audi A4 itu adalah RM20,000. Mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang lelaki yang mengaku penjual kereta melalui aplikasi Facebook Messenger.

"Mangsa memberikan nombor telefonnya untuk dihubungi bagi urusan lanjut," katanya ketika dihubungi.

 

Menurutnya, suspek berkenaan kemudiannya menghantar mesej di aplikasi WhatsApp kepada mangsa dan memperkenalkan diri sebagai Mr Lee.

 

"Selepas berbincang, mangsa kemudiannya menyatakan persetujuan untuk membeli kenderaan terbabit dan membuat bayaran di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) antara 17 Ogos hingga 27 November lalu.

 

"Sepanjang tempoh itu sebanyak 24 transaksi dilakukan mangsa ke atas pelbagai nombor akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan RM91,250.

 

"Mangsa hadir ke balai polis membuat laporan semalam selepas menyedari diri ditipu selepas penjualan kereta itu tidak wujud," katanya.

 

Sementara itu, Aibee berkata, sebanyak 23 kertas siasatan lain membabitkan kes penjualan kereta tidak wujud terhadap sindiket sama dibuka yang turut membabitkan mangsa negeri lain sejak Ogos lalu.

 

"Nilai keseluruhan jumlah kerugian lebih RM1.5 juta," katanya.

 

 

 

Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata,…
Berita Domestik
  Beliau berkata, mangsa berusia 43 tahun dari Bandar Indera Mahkota, di sini berhubung dengan…
Berita Domestik
  “JPJ sedang bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah…